WASHINGTON – Sekumpulan saintis yang mengkaji bahagian bawah lapisan ais terbesar dunia di Antartika telah menemui sebuah tasik bersaiz sebesar bandar, lapor laman berita MailOnline, semalam.
Tasik yang digelar Lake Snow Eagle itu terletak di dalam ngarai sedalam satu kilometer di Antartika Princess Elizabeth Land, beberapa ratus kilometer (km) dari kawasan pantai.
Kawasan tasik tersebut adalah kira-kira 370 km persegi, yang bersamaan dengan saiz bandar Philadelphia di Pennsylvania, sebuah negeri Amerika Syarikat.
Ia berada di bawah Lembaran Ais Antartika Timur, yang merupakan salah satu daripada dua kepingan ais besar di Antartika dan kepingan ais terbesar di seluruh planet.
Menurut saintis, sedimen di Lake Snow Eagle mungkin mengandungi sejarah Lembaran Ais Antartika Timur yang terawal.
Kewujudan tasik itu boleh mendedahkan keadaan Antartika sebelum ia membeku, bagaimana perubahan iklim telah menjejaskannya dan bagaimana lapisan ais mungkin berubah apabila dunia semakin panas.
Lake Snow Eagle yang dilitupi oleh dua batu ais telah ditemui oleh pesawat yang dipasang dengan radar penembusan ais dan menghantar gelombang radio kepada alat pengesan.
“Tasik ini mungkin mempunyai rekod keseluruhan sejarah Lembaran Ais Antartika Timur, permulaannya lebih 34 juta tahun yang lalu, serta pertumbuhan dan evolusinya merentasi kitaran glasier sejak itu.
“Pemerhatian kami juga mencadangkan bahawa kepingan ais berubah dengan ketara kira-kira 10,000 tahun lalu, walaupun kami tidak tahu punca sebenarnya,” kata pengarang kajian, Don Blankenship dari Universiti Texas di Austin.
Tanda pertama bahawa tasik itu wujud adalah apabila saintis melihat lekukan licin pada imej satelit kepingan ais. – Agensi