PETALING JAYA – Rapid Rail Sdn. Bhd menjelaskan kejadian Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terjejas pagi tadi berlaku disebabkan sebuah tren yang terkandas.
Rapid KL dalam satu kenyataan di Facebook berkata, tren bernombor 39 yang terkandas di Stesen LRT Taman Jaya dikatakan berpunca daripada masalah sistem brek.
Susulan kejadian itu, pasukan operasi mengaktifkan pelan perkhidmatan alternatif kepada penumpang terlibat.
“Kami ingin memohon maaf kepada semua pengguna yang mengalami kelewatan dan kesulitan untuk menuju destinasi masing-masing khususnya ke tempat kerja pada pagi tadi.
“Pihak operasi telah mengaktifkan pelan perkhidmatan alternatif yang mana penumpang dari arah Gombak dan Putra Heights perlu turun di Stesen LRT Asia Jaya dan mendapatkan tren yang berikutnya bagi meneruskan perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kerosakan terbabit bagi memastikan kejadian seumpama itu dapat dielakkan pada masa hadapan.
Pengumuman mengenai kelewatan tren turut dibuat di stesen dan di dalam tren.
“Kakitangan operasi ditempatkan di platform Stesen LRT Asia Jaya bagi membantu penumpang mendapatkan tren sambungan.
“Kerja-kerja mengalihkan tren dilakukan oleh jurutera Rapid Rail. Proses menunda keluar tren selesai pada pukul 2 petang dan perkhidmatan kembali seperti sediakala selepas itu,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE.