PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan monsun barat daya bermula 14 Mei sehingga pertengahan September ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, lazimnya angin akan bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.
“Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, hujan lebat dan ribut petir masih boleh berlaku di pantai barat semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.
“Selain itu, fenomena jerebu juga boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak dikawal terutama pada Ogos hingga Oktober.
“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE