fbpx

Menanti Ma, I Love You Chiu Keng Guan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS lima tahun mencipta nama di luar negara, Chiu Keng Guan kembali dengan sebuah naskhah tempatan berjudul Ma, I Love You.

MENGAMBIL tema kasih sayang seorang ibu, pengarah prolifik yang amat dikenali dengan sentuhan magis dalam genre drama dan kekeluargaan iaitu Chiu Keng Guan kembali dengan sebuah filem tempatan baharu.

Setelah lima tahun mengukir nama di persada antarabangsa, Keng Guan kini muncul dengan air tangan terbaharunya berjudul Ma, I Love You.

Naskhah berkenaan dijangka menemui penonton di negara ini pada sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2023 dengan menyaksikan pengarah itu mengangkat serta mempertaruhkan subjek hubungan seorang ibu dan anak.

Filem terbitan Astro Shaw berkenaan akan mula menjalani penggambaran pada September depan dan pihak produksi kini sedang dalam misi pencarian bakat baharu pelakon sekali gus membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menghantar video lakonan mereka.

Sesi uji bakat terbuka untuk watak utama lelaki dan wanita iaitu remaja dalam lingkungan umur 17 hingga 18 tahun dengan cara menyediakan gambar penuh, ‘mug shot’ berserta foto kasual.

Kongsikan juga dua buah video rakaman berbentuk pengenalan diri (dua minit) serta video berkaitan hubungan anda bersama ibu, pengalaman yang tidak boleh dilupakan bersamanya serta persamaan personaliti kalian (durasi dua hingga tiga minit).

Video-video berkenaan perlu dimuat naik dalam YouTube (Unlisted) dan hantarkan pautan tersebut ke alamat e-mel [email protected] sebelum 6 Jun depan.

Detik berharga

Menyingkap kisah yang akan dipaparkan dalam filem berkenaan, Ma, I Love You mengetengahkan naratif menyentuh perasaan yang menumpukan terhadap cabaran hubungan ibu dan anak yang hidup bersama sebelum tiba masanya, setiap ibu bapa harus melepaskan anak mereka untuk menempuhi kehidupan sendiri.

Kata Keng Guan, dia sudah melakukan kajian tentang kisah hubungan ibu dan anak sejak beberapa tahun lalu dan mendapati banyak momen serta detik menarik yang menyentuh perasaan.

“Kali ini saya ingin menghasilkan sebuah filem yang relevan dan amat dekat dengan generasi serta masyarakat sekarang.

“Saya harap pada Tahun Baru Cina akan datang, filem ini mampu mengembalikan penonton ke pawagam untuk merasai gelak tawa, kegembiraan dan detik berharga bersama keluarga mahupun rakan-rakan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, selaku penerbit, pihaknya berbesar hati kerana dapat sekali lagi menjalin kerjasama bersama pengarah itu sejak bersama Keng Guan menerusi filem arahan pertamanya pada 2010.

“Bersempena Hari Ibu, kami yakin ini adalah waktu yang sesuai untuk mengumumkan kehadiran filem Ma, I Love You yang mengangkat kisah pengorbanan seorang ibu yang akan menemui penonton di pawagam sempena Tahun Baru Cina kelak,” katanya.

Sekadar info, Keng Guan yang digelar sebagai The King of Malaysian Movies seperti petikan media South East Asian Globe sering mencetuskan fenomena luar biasa menerusi karya-karya arahannya.

Lebih mengagumkan, karya sentuhan pengarah itu berjaya menyentuh perasaan penonton tempatan tanpa mengira bangsa dan umur.

Buktinya, menerusi karya terbaik arahannya, Ola Bola pada 2016 yang mengukir kejayaan terbesar buat industri filem Malaysia dan membangkitkan semangat perpaduan yang sangat tinggi serta nilai patriotisme.

Malah, sebuah lagi karya arahannya, The Journey yang ditayangkan pada 2014 menjadi filem pertama dalam sejarah perfileman negara menembusi kutipan tertinggi sebanyak RM17.28 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI