SEBERANG PERAI – “Suasana seperti gempa bumi. Lebih cemas apabila ada yang berlari dengan kulit terbakar dan berlumuran darah.”
Demikian dakwaan seorang jiran yang menyifatkan kejadian letupan gas memasak yang bocor di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal di sini kelmarin, seperti bencana gempa bumi sehingga bumbung rumahnya ‘berlubang’ akibat impak kejadian tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam, lima sekeluarga berusia lima hingga 35 tahun yang menjadi mangsa letupan gas berlari dalam keadaan sebahagian kulit terbakar dan berlumuran darah ke rumah jiran bagi meminta pertolongan.
Jiran mangsa, Mohd. Hashim Ahmad, 41, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila rumahnya yang terletak bersebelahan turut rosak akibat impak letupan berkenaan.
“Akibat kejadian, sebahagian siling rumah saya selain beberapa peralatan elektrik rosak. Ketika kejadian, saya berada di dalam bilik, manakala isteri dan anak berada di ruang tamu sebelum terdengar satu dentuman kuat.
“Saya ingat gempa bumi. Rupa-rupanya ada letupan di sebelah rumah. Terus saya bawa isteri dan anak keluar dari rumah dan melihat orang ramai sudah berkumpul,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Akibat kejadian juga beberapa buah rumah lain rosak apabila sebahagian dinding konkrit dan siling runtuh.
Seorang saksi kejadian, R. Sumathi, 44, berkata, mereka yang cedera terdiri daripada dua anak perempuan pemilik rumah itu yang berusia 14 dan 20 tahun, bapa saudara berusia 35 tahun serta pasangan kembar kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.
“Saya difahamkan mereka baru pulang daripada menjual bunga di pekan Nibong Tebal dan anak pasangan tersebut berusia 20 tahun yang membuka pintu rumah dengan empat ahli keluarganya yang lain berada di perkarangan rumah semasa letupan berlaku. Ayah serta ibunya masih dalam kenderaan,” katanya.
Ujar Sumathi, lima mangsa yang cedera itu pergi ke rumahnya yang terletak bersebelahan untuk meminta tolong.
“Mereka berlari ke rumah saya sambil menangis dan meminta tolong. Mangsa menjerit memberitahu gas meletup, gas meletup,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sumathi yang juga rakan baik keluarga mangsa berkata, dia terkejut melihat mangsa berlumuran darah dengan kulit yang hampir tersiat berada di hadapan rumahnya.
“Tanpa berlengah, saya membantu menghantar mereka ke Hospital Sungai Bakap, manakala mangsa yang cedera ringan menaiki kereta rakan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Negeri, Phee Boon Poh berkata, kejadian berlaku ketika salah seorang mangsa membuka pintu rumah.
“Mereka yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dengan seorang kanak-kanak lima tahun dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, tiga buah rumah yang setiap satu berkeluasan kira-kira 74 meter persegi musnah pada beberapa bahagian.
“Kesan itu seakan terkena bahan letupan di bahagian bumbung dan struktur dinding rumah berkemungkinan berpunca kebocoran gas memasak,” katanya.