fbpx

Guardiola dakwa Manchester City ‘dianaktirikan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STERLING (depan) berjaya meledak dua gol buat City ketika membelasah Newcastle 5-0 di Stadium Etihad malam kelmarin. – AFP

MANCHESTER – Manchester City semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah Newcastle United 5-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Etihad malam kelmarin.

Dengan aksi liga hanya berbaki tiga perlawanan, The Citizens dijangka terus menjarakkan diri dengan pencabar terdekat di tangga kedua, Liverpool yang kini dibezakan dengan tiga mata.

Pengurus City, Pep Guardiola melancarkan perang psikologi apabila mendakwa semua pihak tidak mahu melihat pasukannya menjadi juara, sebaliknya lebih menyokong Liverpool.

“Semua orang di negara ini (England) termasuk pihak media memilih untuk menyokong Liverpool. Saya tahu Liverpool memiliki sejarah hebat di pentas Eropah, namun mereka hanya menang sekali dalam tempoh 30 tahun dalam saingan EPL.

“Bagaimanapun, saya tidak kisah sama ada orang ramai enggan melihat kami menjadi juara kerana ia adalah perkara biasa. Mungkin ia disebabkan Liverpool memiliki peminat lebih ramai di seluruh dunia,” katanya.

Pada perlawanan kelmarin, City menampilkan aksi yang cukup dominan sehingga berjaya menjaringkan lima gol menerusi dua jaringan Raheem Sterling serta masing-masing satu gol daripada Aymeric Laporte, Rodri dan Phil Foden.

“Kami mendapat tiga mata yang sangat berharga hari ini (malam kelmarin) selepas Liverpool seri dengan Tottenham Hotspur. Bagaimanapun, kami tidak boleh leka kerana apa sahaja boleh berlaku nanti,” ujar Guardiola. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI