PETALING JAYA – Gandingan Jellson Jabilin dan Hanis Nazirul Jaya Surya terus memastikan dominasi Malaysia dengan pingat emas keenam pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021.
Jellson-Hanis Nazirul langsung tiada tandingan untuk mengungguli acara 10 meter (m) platform seirama lelaki pada aksi final sukan terjun yang berlangsung di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi sebentar tadi.
Pasangan negara itu berjaya meraih 345.93 markah keseluruhan selepas melakukan enam terjunan untuk menewaskan tiga pencabar dalam aksi tersebut.
Pingat perak menjadi milik pasangan Singapura, Jonathan Chan Fan Keng-Max Lee Shen Oon selepas mengutip 322.50 markah keseluruhan.
Tuan rumah, Vietnam pula berjaya memastikan pingat gangsa menerusi Nguyen Quong Dat-Dang Hoang Tu dengan 251.46 markah.
Sebagai rekod, Malaysia setakat ini sudah berjaya menyapu bersih kesemua enam pingat emas yang ditawarkan setakat hari ketiga acara terjun Sukan SEA Vietnam 2021.
Skuad terjun negara dijangka tiada masalah untuk membolot dua lagi emas esok menerusi gandingan Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10m platform seirama wanita dan Gabriel Gilbert Daim serta Muhammad Syafiq Puteh (3m papan anjal individu).
Jika berjaya, Malaysia akan menyapu bersih semua lapan pingat emas dipertandingkan dan menutup acara terjun dengan langkah sempurna. – KOSMO! ONLINE