fbpx

Bilik terkunci, anak tak sempat selamatkan bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk kampung melihat keadaan rumah yang terbakar sehingga meragut nyawa seorang warga emas di Kampung Parit Abas, Benut, Pontian pagi semalam.

PONTIAN – Cubaan dua beradik untuk menyelamatkan bapa mereka yang terperangkap di dalam bilik tidur tidak berjaya apabila mangsa ditemui rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah pusaka di Kampung Parit Abas, Benut di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, jasad Muhd. @ Misman Shukiran ditemui oleh sepa­sukan anggota bomba yang menjalankan pemeriksaan selepas operasi pemadaman berakhir.

Menurut anak ketiga mangsa, Norlela, 47, kejadian berlaku ketika bapanya tinggal bersama dua adiknya iaitu Norhafizan, 35, dan Norazizah, 34, di rumah dua tingkat itu.

“Ketika api sedang marak, adik saya dengar bapa panggil nama arwah ibu, Siti Aminah yang telah meninggal dunia tiga tahun lalu.

“Ketika kejadian, bapa tidur di bilik bahagian bawah, manakala adik-adik yang lain berada di bahagian atas. Adik cuba selamatkan bapa, tetapi tidak berjaya sebab pintu bilik terkunci dari dalam,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Norlela berkata, bapanya mempunyai 11 orang anak dan keriangan meraikan Aidilfitri bersama anak cucu kelmarin menjadi detik terakhir mereka menatap wajah arwah.

Jelas ibu empat anak itu, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu menerusi panggilan te­lefon daripada adiknya yang memaklumkan mengenai kebakaran rumah yang meragut nyawa insan tersayang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Azhar Abd. Jalil berkata, pihak­nya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.40 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota telah dikejarkan ke lokasi keja­dian bersama tiga jentera bagi operasi menyelamat dan mema­dam api kebakaran.

“Setibanya di tempat kejadian, anggota mendapati berlaku kebakaran di sebuah rumah jenis separuh kekal.

“Kebakaran tersebut telah memusnahkan 90 peratus rumah berkenaan dan mayat warga emas lelaki yang telah rentung ditemui di dalam bilik rumah tersebut,” katanya.

Tambah Azhar, mayat mangsa kemudian telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI