PETALING JAYA – Tular sebuah video memaparkan tindakan seorang wanita yang enggan berganjak daripada parkir kosong walaupun telah ditegur oleh pemandu lain yang ingin meletakkan kenderaannya di situ.
Difahamkan, wanita berkenaan sedang menjaga parkir tersebut buat pengguna yang lain.
Dalam video yang dikongsikan oleh @jalanbasah1 di media sosial, kelihatan wanita terbabit mengetuk bonet belakang kenderaan tersebut serta menunding jari ke arah kanan sebagai isyarat menunjukkan akan ada kenderaan lain ingin menggunakan parkir itu.
Lebih membuatkan ramai marah apabila wanita berkenaan tetap ‘mengeraskan diri’ di ruang parkir walaupun pemandu tersebut sudah mengundurkan kenderan menghampirinya sambil membunyikan hon berulang kali.
Setakat hari ini, lebih 1.6 juta tontonan diterima berhubung video yang dikongsikan itu dan rata-ratanya meluahkan rasa geram dengan tindakan individu tersebut.
“Geram pula aku tengok wanita itu, undur sahaja perlahan-lahan sampai di lari, beli parkir ke kena jaga tak bagi orang lain guna,” soal Jauhatul.
“Rasanya ramai yang tahu negara kita ada undang-undang dan individu yang suka ‘cop parkir’ boleh kena saman, tapi ramai lagi yang macam tak peduli,” komen seorang pengguna.
Dalan pada itu, ramai juga mencadangkan agar pihak berkuasa sering menjalankan pemantauan di kawasan parkir awam agar mengelakkan perbuatan seperti ini berlaku kerana menyusahkan orang lain.
“Pihak polis atau mana-mana yang berkuasa, buat pemantauan selalu, kalau jumpa jenis berdiri dekat ruang parkir, boleh tanya kenapa, kalau dapati salah, terus ambil tindakan, tak ada susahkan pengguna lain yang nak guna,” ujar Mohd. Yusoff. – KOSMO! ONLINE