DARI segi fizikal, pemain negara mungkin terlalu kecil, sebaliknya jiwa barisan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara cukup besar untuk mencipta kejutan ke atas pasukan pilihan, Thailand menerusi kemenangan 2-1 pada aksi pembuka tirai Kumpulan B, Sukan SEA Vietnam 2021 di Stadium Thien Truong malam kelmarin.
Pengendali negara, Brad Maloney menegaskan, kelebihan menentang lawan yang beraksi 10 pemain tidak akan beri banyak perbezaan sekiranya anak-anak buahnya gagal mengambil kesempatan tersebut.
“Suasana di stadium juga cukup hebat dan semua pemain pastinya mahu beraksi dalam persekitaran seperti ini. Kami juga mampu mengawal permainan, namun bagi jurulatih, agak bagus buat pasukan untuk memiliki pemain gantian yang mampu menghadirkan impak.
“Memang kami hormati Thailand sebagai salah satu pasukan terkuat, namun pemain saya tidak pernah ada rasa takut untuk menghadapi sesiapapun. Mereka bermain dengan jiwa besar dan mereka sudah lakukan apa yang perlu,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.
Selepas mendahului permainan pada minit ke-33 menerusi Patrik Gustavsson, skuad Gajah Perang terpaksa mengharungi detik 50 minit dengan penuh tekanan apabila pertahanannya, Jonathan Khemdee dilayangkan kad merah kerana dikesan mengasari Muhamad Syahir Bashah.
Pada minit ke-61, Ahmad Daniel Asri kembali menyamakan kedudukan sebelum pemain gantian negara, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar muncul wira dengan menyumbangkan gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua.
Maloney kini memiliki tempoh sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk memperbaiki dan menyiapkan pasukan mantap sebelum menghadapi perlawanan kedua menentang Laos, Rabu ini.
Bagaimanapun, jurulatih dari Australia itu segera mengingatkan para pemainnya bahawa kemenangan ke atas Thailand sekadar permulaan dan harus segera dilupakan bagi memberi fokus kepada baki aksi Kumpulan B.
“Ia menjadi keputusan yang positif buat kami. Namun masih terlalu awal untuk kita berbicara tentang peluang ke separuh akhir kerana kami masih ada perlawanan yang perlu dihadapi.
“Apa yang penting sekarang adalah perlu kekal fokus untuk baki perlawanan selepas ini dan selepas itu, baru boleh memikirkan soal lain,” katanya.