PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) mengingatkan rakyat tempatan agar tidak memberi perlindungan kepada pelarian etnik Rohingya jika tidak mahu berdepan tindakan tegas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, jika didapati bersalah, individu berkenaan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan penjara tidak melebihi 1 hingga 5 tahun.
Beliau berkata, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 56 Akta Imigresen.
“Saya ingin menjelaskan bahawa pelarian Rohingya yang mendarat secara haram di perairan negara ini tidak akan dibebaskan.
“Malah, mereka akan ditahan di depot-depot imigresen kerana status sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, setakat ini, jumlah tahanan Rohingya yang ditahan di depot imigresen seluruh negara adalah seramai 2,200 orang sejak 2019. – KOSMO! ONLINE.