PETALING JAYA – “Alhamdulillah. Saya sangat gembira dan bersyukur dengan kelahiran anak ketiga ini iaitu seorang bayi perempuan. Rasa teruja sudah lama tidak dukung bayi”.
Demikian kata-kata oleh pelakon Shaheizy Sam selepas isteri kesayangannya yang juga pelakon, Syatilla Melvin selamat melahirkan cahaya mata ketiga sekitar pukul 11 pagi tadi.
Sam atau nama lengkapnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 38, ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu isteri dan bayinya berada dalam keadaan baik dan sihat.
Kata Sam, Syatilla telah dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri, Selangor sejak malam tadi selepas menunjukkan tanda-tanda akan bersalin.
“Syatilla dibawa ke hospital sejak malam tadi. Alhamdulillah sekitar pukul 11 pagi tadi dia selamat melahirkan cahaya mata ketiga iaitu seorang perempuan secara pembedahan ‘czer’.
“Memang ketiga-tiga anak saya semuanya bersalin secara pembedahan. Jadi tidak ada apa-apa yang membimbangkan. Isteri pun baik dan sihat, begitu juga bayi,” katanya.
Ujar pelakon filem Polis Evo itu lagi, dia merancang untuk membawa isterinya pulang untuk berpantang di Melaka, memandangkan ibunya yang juga pelakon veteran, Khaty Fauziah kini menetap di sana.
“Mungkin saya akan bawa isteri pulang ke Melaka untuk berpantang kerana mommy (panggilan ibunya) tinggal di sana.
“Saya pun akan bercuti panjang iaitu selama kira-kira sebulan untuk menjaga isteri,” kata Sam.
Sekadar info, Sam dan Syatilla mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syeriv Samheizy, 5, dan Sarima Samheizy, 3.
Syatilla bagaimanapun sebelum ini pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali. – KOSMO! ONLINE