fbpx

Penerbangan tertunda: Penumpang berhak tuntut pampasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Pengguna perkhidmatan penerbangan yang tertunda atau penerbangan mereka dijadual semua berhak untuk menuntut pampasan bagi meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin ditujui.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata demikian bagi mengulas isu penundaan dan penjadualan semula penerbangan oleh syarikat penerbangan Air Asia yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

“Sebagai menteri yang ditugaskan menjaga pengguna, saya mengambil maklum mengenai rungutan, aduan dan keluhan disuarakan pengguna berhubung kelewatan penerbangan Air Asia, membabitkan pelbagai destinasi dalam negara.

“Kelewatan ini dikesan sudah berlaku sejak penghujung bulan lalu dan masih berlanjutan. KPDNHEP akan terus menjalankan siasatan daripada sisi kepentingan pengguna dan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi merungkai permasalahan ini, demi memastikan ia tidak berlanjutan atau berulang,” katanya menerusi satu ciapan di laman Twitter hari ini.

Alexander berkata, pengguna perkhidmatan penerbangan yang terkesan bagaimanapun mempunyai hak untuk menuntut pampasan bagi meneruskan perjalanan dengan tertakluk kepada beberapa faktor.

“Bergantung kepada punca penundaan atau pembatalan, berdasarkan maklumat daripada http://mavcom.my, pampasan ini mungkin merangkumi makanan, panggilan telefon dan akses internet melibatkan penangguhan selama dua jam atau lebih.

“Ia juga mungkin merangkumi penginapan hotel dan pengangkutan bagi penangguhan selama lima jam atau lebih serta pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif jika penerbangan anda dibatalkan,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, satu-satunya pengecualian bagi mendapatkan pampasan adalah apabila berlakunya suatu ‘keadaan luar biasa’ termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem, yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI