SKUAD badminton lelaki negara bakal memulakan cabaran Piala Thomas 2022 apabila membuat perhitungan dengan England padaa aksi pertama Kumpulan D di Impact Arena, Bangkok, Thailand hari ini.
Malaysia memiliki peluang terbaik untuk menamatkan kemarau selama 30 tahun selepas kali terakhir menjulang trofi agung itu pada 1992.
Bekas perseorangan lelaki negara, Muhammad Hafiz Hashim berkata, mana-mana pemain perseorangan ketiga perlu bersedia menyerap tekanan jika diturunkan dalam aksi penentuan ketika perlawanan terikat 2-2.
“Perseorangan ketiga pastinya berdepan tekanan luar biasa kerana turun pada aksi penentuan. Tugasnya sangat berat kerana pemain ini boleh jadi sama ada hero atau zero.
“Kita perlukan pemain berpengalaman sebagai perseorangan ketiga kerana pemain muda mungkin berdepan masalah hadapi tekanan. Namun, terpulang kepada pemain itu sendiri,” katanya yang pernah menggalas tugas selaku perseorangan ketiga.
Tugas sebagai perseorangan ketiga sekarang terarah kepada pemain veteran, Liew Daren serta Ng Tze Yong memandangkan bintang No.1 negara, Lee Zii Jia pastinya akan turun sebagai perseorangan utama.
Tambah Hafiz, mana-mana pemain yang akan turun sebagai perseorangan ketiga perlu bersedia sepenuhnya dari segi mental memandangkan mereka bukan sahaja membawa harapan pasukan tetapi seluruh rakyat Malaysia.
“Setiap pemain pastinya sudah siap sedia, tetapi berdepan tekanan mental jika turun pada aksi penentuan. Sebenarnya, saya lebih terarah kepada Daren berdasarkan pengalaman, namun ia terpulang kepada strategi BAM (Persatuan Badminton Malaysia),” ujarnya.
Pencapaian terbaik Malaysia selepas menjadi juara pada 1992 adalah muncul naib juara sebanyak empat kali pada edisi 1994 di Jakarta diikuti Hong Kong (1998), Guangzhou (2002) serta New Delhi (2014).