PINGAT emas pertama kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Vietnam 2021 hadir menerusi penerjun sensasi negara, Nur Dhabitah Sabri selepas memenangi acara 1 meter (m) papan anjal individu wanita semalam.
Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik My Dinh itu, Dhabitah menampilkan aksi sempurna untuk mengumpul 290.45 mata keseluruhan selepas melakukan lima terjunan.
Terjunan terbaik atlet berusia 23 tahun itu hadir pada terjunan kedua apabila berjaya mengutip 63.70 mata, sekali gus mengukuhkan cengkaman dan mencerahkan peluang untuk memenangi acara final tersebut.
Lebih manis, seorang lagi penerjun negara, Kimberly Bong Qian Ping mengiringi Dhabitah di podium apabila memenangi pingat perak selepas mengutip 230.0 mata keseluruhan, manakala pingat gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Ngo Phuong Mai dengan 224.0 mata.
Sebagai rekod, Dhabitah sudah boleh dianggap sebagai antara atlet terjun elit negara apabila turut memenangi empat pingat emas dalam Sukan SEA sebelum ini pada edisi 2013, 2015, 2017 dan 2019.
Dia turut melakar sejarah tersendiri apabila sudah menjejakkan kaki ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali pada edisi Rio 2016 serta Tokyo 2020 menerusi acara 3m papan anjal.
Pada masa sama, kejayaan atlet kelahiran Kuala Lumpur itu menjadi permulaan sempurna buat kem terjun negara yang meletakkan sasaran menyapu bersih lapan pingat emas menerusi sukan tersebut.
Kemenangan itu mampu menjadi tonik terbaik buat Dhabitah menjelang acara seterusnya 10m platform seirama wanita bergandingan dengan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.