fbpx

Mendamba ibu segala pingat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUKAN SEA edisi ke-31 bakal membuka tirai secara rasmi pada 12 Mei ini dan dijangka berakhir pada 23 Mei nanti di Hanoi, Vietnam.

Malaysia akan bersaing memburu pingat pada temasya dwitahunan itu dengan menghantar seramai 818 orang melibatkan 612 atlet dan 206 pegawai.

Daripada jumlah tersebut, Malaysia akan menyertai 37 daripada 40 jenis sukan yang dipertandingkan kecuali bola baling, vovinam dan gusti (wrestling). Edisi ke-31 Sukan Asia Tenggara turut menyaksikan seramai 5,467 atlet dari 11 negara berbeza dan akan berentap dalam 40 sukan merentasi 526 acara.

Selain Malaysia, negara lain yang turut serta ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam selaku tuan rumah edisi kali ini.

Menariknya, pemenang pingat emas Olimpik dari Filipina, Hidilyn Diaz dan bintang renang Singapura, Joseph Schooling pastinya meletakkan standard tertinggi, manakala juara gimnastik dunia dari Filipina, Carlos Yulo turut bersaing bagi menambah koleksi kemenangan.

Selain itu, jangan lupa pemenang dua pingat Olimpik acara terjun dari Malaysia, Pandelela Rinong akan menggegar kolam renang, pasukan badminton generasi baharu dari Indonesia, Pleumjit Thinkaow dari Thailand dan Alyssa Valdez dari Filipina di gelanggang bola tampar.

Di samping wira tempatan Hoang Xuan Vinh yang memenangi pingat emas pertama Olimpik untuk Vietnam dalam acara menembak.

Meskipun Sukan SEA Vietnam 2021 masih belum membuka tirai secara rasmi, namun bahang persaingan sudah mula dirasai oleh peminat sukan di Asia Tenggara apabila beberapa sukan sudah pun berlangsung termasuk bola sepak.

Dalam sukan bola sepak, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B yang turut dihuni Thailand, Singapura, Kemboja dan Laos, manakala Kumpulan A pula melibatkan Filipina, Vietnam, Indonesia, Myanmar dan Timor Leste.

Tidak dapat dinafikan, sukan bola sepak akan menjadi tumpuan besar apatah lagi di Asia Tenggara, perseteruan dalam kalangan negara-negara terlibat cukup membuak-buak, bukan bermakna ia merujuk kepada permusuhan sebenar, saling membenci mahupun mencemuh, namun lebih kepada profesional dan semangat kesukanan.

Malam kelmarin, penulis percaya ia merupakan detik paling membanggakan Malaysia apabila skuad bawah 23 tahun (B-23) negara bimbingan Brad Maloney melakukan kejutan dengan menumbangkan salah satu pasukan pilihan, Thailand 2-1 pada aksi pembuka tirai Kumpulan B.

Bukan sesuatu yang mudah untuk meraih keputusan positif pada aksi pertama, namun percaturan Maloney serta kesungguhan dan semangat skuad B-23 negara wajar dipuji dalam usaha memburu ibu segala pingat Sukan SEA.

Kemenangan itu dijangka memberi tiga mata berharga buat skuad B-23 negara, namun tidak bermakna pasukan kebangsaan sudah tiada apa yang perlu diperbaiki.

Memang puas menyaksikan Malaysia menumbangkan Thailand dan penulis berharap momentum tersebut dapat dikekalkan sehingga ke pentas final untuk menjulang ibu segala pingat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI