Saudara pengarang,
Kejadian Sam Ke Ting yang dituduh melanggar sekumpulan penunggang basikal sehingga mengorbankan lapan nyawa menjadi topik perbincangan hangat mengenai pemanduan cuai dan siapa yang bersalah?
Di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 terdapat peruntukan kesalahan memandu secara tidak cermat atau melulu dan di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
Menerusi pindaan APJ pada Oktober 2020, menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya dimasukkan sebagai kesalahan yang boleh didakwa bagi kenderaan seperti basikal, basikal elektrik dan basikal roda tiga.
Dalam situasi Ke Ting, asas perbahasan berkisar tentang interpretasi perundangan terhadap ‘cuai’ atau ‘berbahaya’.
Mahkamah Rayuan membenarkan enam soalan undang-undang termasuk sama ada kesalahan di bawah Seksyen 41(1) khususnya ke atas ‘penyebab situasi berbahaya’ adalah berpunca daripada pemandu atau penunggang basikal dan sama ada kelajuan 44.5 kilometer/jam dianggap berbahaya berbanding posisi penunggang basikal.
Oleh kerana APJ tidak memberi definisi ‘cuai’ atau ‘berbahaya’, interpretasi ini ditentukan oleh mahkamah menggunakan prinsip perundangan.
Memandangkan Ke Ting diberi peluang untuk merayu, terdapat keperluan untuk mahkamah menilai elemen ‘kecuaian’ atau ‘berbahaya’ dan melihat secara objektif ke atas fakta relevan yang menyelubungi kemalangan maut tersebut sebelum sabitan dikenakan untuk mengelak penyalaharahan ke atas sabitan di bawah Seksyen 41 APJ.
Seseorang mungkin bertanya bagaimana dengan penunggang basikal lajak?
Adakah mereka tidak dianggap sebagai pemandu cuai? Selain kesalahan di bawah Seksyen 54, penggunaan basikal yang diubah suai (basikal lajak) yang tidak selamat boleh didakwa di bawah Seksyen 431 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membencanakan jalan awam, jambatan atau sungai.
Walau bagaimanapun, menangani isu remaja yang terlibat dalam aktiviti sedemikian memerlukan pendekatan holistik selain hukuman undang-undang.
Terdapat keperluan utama untuk membangunkan amalan baik yang meliputi pendidikan untuk menggalakkan pengguna jalan raya muda tentang kesedaran keselamatan ketika berada di jalan raya.
Pada masa hadapan, demi kepentingan keselamatan jalan raya, pemimpin masyarakat dan pentadbir sekolah juga perlu bekerjasama dengan agensi penguat kuasa untuk mendidik golongan muda.
Mereka perlu digalakkan untuk mengambil peranan utama dalam mengekang masalah ini. Diharapkan dengan menangani masalah ini, kita boleh mengelak kes seperti yang menimpa Ke Ting.
Dr Sia Chin Chin
Pensyarah Kanan Taylor’s
Law School