TAIPEI – Satu gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter menggegarkan pantai Taiwan petang hari ini, demikian menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), dengan bangunan-bangunan di Taipei dilaporkan bergoyang.
Gempa luar pesisir itu melanda sejurus sebelum pukul 2.30 petang (waktu tempatan), pada kedalaman 27 kilometer (km), kira-kira 70 km ke arah barat daya Yonakuni, sebuah pulau di Jepun yang tidak jauh dari Taiwan.
Biro Cuaca Pusat Taiwan berkata, gegaran tersebut merupakan kali kelima yang berlaku pada tahun ini dengan catatan kekuatan melebihi 6.0 pada skala Richter, namun tiada sebarang laporan susulan berkaitan kerosakan.
“Diharapkan semua orang selamat. Mungkin akan berlakunya gempa susulan dan sila berhati-hati,” kata Datuk Bandar bagi Bandar Baharu Taipei, Hou You-yi dalam satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Agensi Meteorologi Jepun menjangkakan gegaran tersebut berukuran 6.6 pada skala Richter dan berkata, ia mungkin menyebabkan sedikit turun naik pada paras air laut. Namun, tiada amaran tsunami dikeluarkan. – AFP