PETALING JAYA – ‘Ekor’ Harimau Malaya disaran tidak melepaskan pakej promosi perlawanan Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkenalkan tiket kombo berharga RM100 untuk saingan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bulan depan.
Lebih menarik, tiket tersebut melibatkan kesemua enam perlawanan yang melibatkan pasukan Malaysia, Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.
Naib Presiden FAM, Datuk Posa Majais berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memudahkan penyokong memberi sokongan kepada skuad kendalian Kim Pan-gon tanpa perlu membeli tiket secara berasingan.
“FAM sangat prihatin terhadap penyokong yang merancang ke stadium dan tiket kombo ini diperkenalkan sebagai tanda penghargaan supaya memudahkan pergerakan mereka selain memberikan sedikit penjimatan dari segi harga.
“Bagaimanapun, tempoh penjualan tiket kombo hanya dibuka selama dua minggu bermula Ahad ini sehingga 29 Mei dengan semua transaksi dilakukan secara atas talian,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.
Selain tiket kombo, badan induk bola sepak negara itu turut memperkenalkan tiket berharga RM40 untuk satu hari perlawanan bagi kategori tiket tempat duduk serta tiket berharga RM60 bagi kategori tempat duduk Grandstand serta tiket kanak kanak berusia 6 hingga 12 tahun berharga RM7.
Dalam perkembangan sama, badan induk turut mengumumkan harga tiket bagi dua perlawanan antarabangsa bertemu Myanmar pada 27 Mei dan Hong Kong pada 2 Jun yang turut berlangsung di venue sama.
“Bagi perlawanan persahabatan menentang Myanmar dan Hong Kong, harga tiket ditetapkan pada satu harga sahaja iaitu RM30 bagi dewasa dan RM7 bagi kanak kanak,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM. – KOSMO ONLINE