PADANG BESAR – Dua pelatih lelaki yang melarikan diri daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang di Beseri dekat sini pada Sabtu lalu berjaya ditahan hari ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Pemangku Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, dua pelatih berusia 44 dan 51 tahun itu ditahan di hadapan Kilang Gula Perlis Sdn. Bhd. di Chuping dekat sini kira-kira pukul 1 petang ini.
“Ketika ditahan mereka didapati memakai baju lain, namun masih memakai seluar sama,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kedua-dua mereka kini ditahan di lokap Balai Polis Padang Besar.
Kosmo! Online semalam melaporkan polis sedang giat mengesan dua pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang yang melarikan diri pada sejak Sabtu lalu.
Kedua-dua pelatih itu dipindahkan dari Puspen Batu Kurau, Perak ke sini pada 4 Januari lalu dan dijangka tamat menjalani pemulihan pada Disember 2023. – KOSMO! ONLINE.