MENJADI kumpulan wanita pertama ditubuhkan bawah HYBE yang menjadi ‘kepala’ untuk anak syarikat menaungi nama besar BTS (Big Hit) membuatkan debut LE SSERAFIM menuai perhatian seluruh dunia.
Tambahan pula, kumpulan itu dibarisi nama dan wajah yang tidak asing dalam industri K-pop iaitu bekas anggota kumpulan IZ*ONE, Kim Chae-won dan Miyawaki Sakura.
Termasuklah bekas artis naungan agensi Pledis Entertainment serta peserta program Produce 48 iaitu Huh Yunjin, Kazuha, Kim Garam dan Hong Eun-chae.
Kata Sakura, bohong andainya dia dan rakan-rakan lain tidak pernah berasa tertekan selepas kemunculan mereka dalam industri K-pop dinanti-nantikan peminat seluruh dunia.
Tetapi pada masa sama ujarnya, dia berterima kasih atas segala perhatian yang tertumpu terhadap mereka ketika ini.
“Rakan-rakan lain dan pasukan produksi kata, berbanding rasa gementar dengan perhatian ramai, mari buktikan apa yang kami boleh lakukan. Mari tunjukkan siapa diri kami,” katanya.
LE SSERAFIM memulakan debut secara rasmi pada 2 Mei lalu dengan meluncurkan album perdana mereka berjudul FEARLESS.
Album berkenaan menyaksikan dua anggota kumpulan itu, Chae-won dan Yunjin bertindak selaku penulis lirik untuk lagu Blue Flame.