fbpx

Buru permulaan sempurna Piala Thomas di Bangkok, Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DARREN mengingatkan rakan-rakan sepasukan agar tidak memberi tekanan kepada diri sendiri, sebaliknya tenang dan keluarkan permainan sendiri.

MISI skuad badminton negara untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 30 tahun dalam saingan Piala Thomas bermula apabila turun menentang England bagi aksi pertama Kumpulan D di Bangkok, Thailand hari ini.

Malaysia dilihat berpeluang cerah untuk membawa pulang trofi Piala Thomas pada edisi kali ini apabila dianggap sebagai antara pasukan terkuat diketuai oleh juara perseorangan lelaki Asia, Lee Zii Jia.

Pemain berpengalaman, Liew Daren percaya skuad badminton negara mampu untuk bermula langkah kanan dengan mencatat kemenangan bersih 5-0 ke atas England pada pertemuan hari ini.

Dia melaungkan keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa ditunjukkan barisan pemain negara, selain kerjasama serta keharmonian yang cukup baik antara pemain dalam skuad sedia ada.

“Apa yang pasti, moral pasukan berada dalam keadaan cukup baik. Sejak menyertai latihan pusat sebelum ini, saya dapat lihat semua pemain me­nunjukkan komitmen cukup tinggi dalam latihan.

“Sebagai pemain paling se­nior dalam pasukan, kami hanya perlu enjoy setiap kali turun bermain. Jika bermain seperti itu, saya fikir kami boleh mulakan kempen dengan kemenangan 5-0,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Justeru, Daren yang juga pemenang kejohanan Siri Super Terbuka Perancis 2012 menggesa rakan-rakan sepasukan supaya tidak terlalu meletakkan tekanan tinggi terhadap diri kerana mampu mengganggu fokus mereka.

“Bagi saya, apa yang penting sekarang adalah jangan beri tekanan pada diri sendiri apabila diberikan tanggungjawab untuk masuk ke dalam gelanggang. Main seperti biasa dan keluarkan permainan sendiri,” ujarnya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia selepas menjadi juara pada 1992 adalah muncul sebagai naib juara sebanyak empat kali pada edisi 1994 di Jakarta diikuti Hong Kong (1998), Guangzhou (2002) serta New Delhi (2014).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI