fbpx

Anak alami eczema, Nad Zainal berubat sampai ke Tapah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapsyen FB: Insya-Allah semoga Som sembuh seperti kanak-kanak lain.

PETALING JAYA – Pelakon Nad Zainal tidak kisah menempuh jarak perjalanan jauh dari Kuala Lumpur sehingga ke Tapah, Perak untuk membawa anaknya, Budi Kalsom ke sebuah klinik bagi mengubati masalah eczema yang dialaminya.

Cerita pemilik nama lengkap Farah Nadia Zainal Abidin, 32, itu, dia mengambil keputusan untuk membawa anaknya yang berusia setahun itu ke klinik yang terletak di Tapah itu selepas diberitahu seseorang yang berkongsi kisah tentang anaknya yang turut menderita masalah kulit.

“Hendak dijadikan cerita, semalam ketika berjalan-jalan keluarkan peluh, singgah Titiwangsa dan terjumpa dengan seorang hamba Allah yang baik hati. Dia berniaga di sana.

“Kata hamba Allah itu, anaknya ketika bayi mengalami masalah eczema kronik sehingga bernanah. Kakinya naik hancur akibat eczema sehingga doktor memberi amaran jika tidak ditahan di hospital, kaki boleh dipotong,” kongsi Nad dalam Instagram.

Ujar pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu lagi, individu tersebut telah menyarankannya untuk membawa Som (panggilan anaknya) ke Klinik Jaya yang terletak di pekan Tapah di Perak bagi mendapatkan rawatan masalah kulit.

“Anaknya kini sudah dewasa dan bebas eczema. Sempat dia tunjuk kesan parut lama akibat tabiat menggaru anaknya itu, Saya kagum dan tidak berlengah untuk membawa Som ke sini (Klinik Jaya),” kata Nad.

Berkongsi pengalaman ketika berada di klinik tersebut, Nad berasa gembira dan selesa kerana dilayan dengan baik oleh doktor serta jururawat yang bertugas di sana.

Walapun hanya sebuah klinik kecil yang terletak di kawasan pekan, Nad menggagumi layanan dan kaedah rawatan yang telah diberikan oleh petugas di Klinik Jaya itu.

“Doktor Sundra memang baik. Walaupun cuma sebuah klinik yang terletak di pekan, servis yang diberikan memang terbaik.

“Selalunya penerangan yang diberikan doktor cuma sekitar lima hingga 10 minit, tapi di sini lama betul. Doktor siap periksa guna lampu, sapukan antibiotik, beri risalah dan berbual panjang.

“Kos rawatan mengikut tahap eczema. Doktor kata, keadaan Som tidaklah teruk, cuma jangan dibiarkan sehingga melarat,” kata Nad.

Perkongsian Nad turut mendapat perhatian peminatnya apabila rata-rata berasa kasihan dengan masalah yang dialami Som dan mendoakan supaya kanak-kanak itu sembuh daripada penyakit kulit yang dialaminya.

“Kasihan Som. Semoga cepat sembuh sayang,” kata seorang netizen.

“Faham sangat kanak-kanak yang menghidap masalah eczima. Kulit mereka memang sensitif. Semoga Som cepat sembuh,” kata seorang lagi netizen.

Sekadar info, eczema merupakann satu keadaan keradangan kulit disertai rasa gatal, merah, timbul bintik dan kadangkala boleh menyebabkan pendarahan disebabkan terlalu kuat menggaru.

Masalah tersebut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tetapi bayi dan kanak-kanak merupakan individu yang sering berhadapan dengan masalah ini.

Masalah ekzema sering berlaku di bahagian pipi, pergelangan tangan, pergelangan kaki dan lain-lain bahagian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI