BALIK PULAU – Bomba tidak menolak kemungkinan punca kematian seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) hiperaktif yang mayatnya ditemui di dalam bilik tidur rumahnya di tingkat lapan, Apartmen Desa Bayan, Bayan Lepas di sini pagi tadi akibat lemas terhidu asap kebakaran.
Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, mayat mangsa berusia 18 tahun itu ditemui di sudut bilik tidur dalam keadaan tertiarap dengan kesan melecur 50 peratus pada bahagian belakang badan.
Menurutnya, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 8.59 pagi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah di tingkat lapan.
“Kita terpaksa memecah pintu untuk masuk kediaman tersebut dan telah menemui seorang mangsa dalam keadaan tertiarap dan sudah tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik tidur. Mungkin mangsa lemas terhidu asap tebal,” katanya kepada pemberita. – KOSMO! ONLINE