BALIK PULAU – Keterujaan sekumpulan pelesit rempit berlumba haram sambil melakukan aksi tunggangan ala ‘Superman’ pada malam minggu di jalan Pantai Seagate, Bayan Lepas dekat akhirnya mengundang padah apabila mereka ditahan polis awal pagi tadi.
Mereka antara 50 penunggang motosikal termasuk pembonceng ditahan dalam satu operasi yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Zafri Zolkapli bersama lima pegawai dan 18 anggotanya mulai pukul 12 malam hingga 5 pagi.
Dalam operasi tersebut, kesemua penunggang motosikal terbabit dikatakan gagal meloloskan diri berikutan laluan dari arah Batu Maung menuju pusat bandar terlebih dahulu dikepung anggota polis.
Mereka kemudiannya terpaksa menolak motosikal sambil diiringi polis selama sejam hingga ke Balai Polis Bayan Lepas.
Zafri berkata, operasi tersebut dijalankan ekoran daripada aduan orang awam berhubung perlakuan kumpulan motosikal yang seringkali melakukan tunggangan secara berbahaya dan menimbulkan bunyi bising.
“Ada menunggang ala Superman, meniarap atas motosikal dan mengangkat kedua-dua belah tayar motosikal. Aksi tersebut sememangnya bahaya pada diri sendiri dan orang awam.
“Dalam operasi tersebut, polis telah menahan 50 penunggang dan menyita 50 buah motosikal serta dua buah kereta. Sebanyak 150 saman atas pelbagai kesalahan juga telah dikeluarkan,” katanya hari ini.
Justeru, beliau menasihati kepada penunggang motosikal terutama samseng jalanan supaya berhenti melakukan aktiviti yang mampu mengundang bahaya pada diri dan orang awam.- KOSMO! ONLINE