fbpx

Janna Nick balas dendam, puas beraya dua minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JANNA NICK

BUKAN mudah untuk ‘lock date’ pengacara, penyanyi dan pelakon sensasi Janna Nick bagi sesi fotografi khas edisi lebaran kali ini.

Maklumlah, jadual seninya begitu padat dari awal tahun hingga ke penghujung bulan puasa. Ajak punya ajak, tunda punya tunda, akhirnya Janna bersetuju untuk mencuri sedikit masa lompong yang ada bagi memenuhi jemputan Pose.

Bukan dia seorang, sekali lengkap dengan pasangan yang dibawanya bersama ke Ibu Pejabat Media Mulia di Petaling Jaya, Selangor tempoh hari. Siapa lagi kalau bukan Dini Schatzmann.

Kedua-dua mereka hadir tepat pada waktu seperti yang dijanjikan. Bak merpati dua sejoli manisnya.

ESOK, Janna kembali bekerja selepas dua minggu bercuti raya.

Sambil wajahnya disolek jurumekap terkenal yang sentiasa mendapat pujian ramai selebriti iaitu El Manda Zuhairy, Janna yang tidak pernah sunyi dengan gelak tawa dan celoteh memulakan bicara.

“Lama betullah tak datang mana-mana photoshoot (fotografi) untuk akhbar atau majalah. Seingat saya kali terakhir tahun 2020 lalu.

“Rasa janggal pula. Tapi tak apa, Dini ada boleh teman ajarkan gaya untuk raya. Dia kan model,” katanya sambil tertawa kuat memecah kesunyian mini studio tempat mereka bersiap.

Lepas rindu

Meneruskan perbualan, Janna yang kadangkala menyanyi dan bersiul sambil melihat video-video TikTok dalam telefon bimbitnya berkata, 2022 merupakan tahun paling meriah buatnya sekeluarga.

Ujar Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, inilah masa dan peluang untuk semua orang pulang ke kampung berkumpul serta beraya bersama keluarga tersayang.

“Dua tahun kita tak beraya. Raya di kota batu Kuala Lumpur saja. Naik bosan macam tiada kampung pula.

“Tapi pandemik dan sayang nyawa punya pasal, kita reda dan ikut sahaja arahan yang dikeluarkan. Lagipun bukan saya seorang tak dapat balik kampung, berjuta-juta orang lain pun sama juga.

“Jadi ini tahun, kita raya ‘all out’. Ini bukan bab rindu nak makan juadah wajib pagi raya sahaja, tetapi lebih nak lepaskan rindu bersama saudara-mara yang bertahun lama tidak berjumpa,” katanya.

JANNA mengakui teruja beraya bersama keluarga di kampung halaman di Sungai Petani setelah dua tahun terkandas di ibu kota dek pandemik.

Tambah pelantun lagu hit Gatal dan Gatal Raya itu lagi, cuti yang ada memang digunakan sebaik mungkin bagi meluangkan masa bersama keluarga di Sungai Petani, Kedah.

“Kita pun dah masuk fasa endemik kan, jadi gunakanlah peluang dan masa yang ada ini untuk lakukan apa sahaja bersama keluarga kita.

“Nak tunggu semua cuti mungkin susah, jadi Hari Raya Aidilfitri rasanya paling sesuai untuk kita berkumpul eratkan silaturahim semula.

“Masa inilah kita boleh duduk berkumpul, tukar-tukar cerita, masak dan makan bersama dan banyak lagi aktiviti lain,” tuturnya teruja.

Sambung kerja, kahwin

Diaju mengenai berapa lama tempoh cuti raya yang diambil, Janna berkata, esok (Isnin) dia sudah mula masuk ke set penggambaran filem terbaharunya, Jemputan Ke Neraka.

“Waktu anda sedang baca artikel ini pada hari ini, saya mungkin sudah selamat sampai di ibu kota untuk kembali bekerja.

“Tapi okey saja. Konsepnya, balik kampung awal, pulang ke Kuala Lumpur pun awal. Cukuplah dua minggu dapat berehat. Lama-lama sangat pun payah juga nanti,” celotehnya.

Tutup mengenai cerita raya, tidak sah kalau tidak dilemparkan soalan mengenai status hubungan terkini dia dan kekasih hatinya, Dini.

Tanpa berselindung, Janna, 27, berkata, perancangan ke fasa yang lebih serius iaitu perkahwinan tetap ada, cuma hasrat murni itu selalu tertunda dek kekangan waktu dan jadual karier.

SOAL kahwin, Janna menyerahkan semuanya kepada Dini dan mengakui mereka berdua sudah cukup bersedia melalui fasa tersebut.

“Orang pun tahu kami bersama dan sedang bercinta. Kalau cakap bab perancangan, manusia memang merancang, tetapi Dia menentukan.

“Perancangan memang ada. Macam Dini, dia sendiri memang dah lama bersedia untuk nikahi saya. Cuma macam saya kata, banyak kali tertunda disebabkan kesibukan.

“Mungkin dengar agak klise kan? Asyik sibuk dan tak ada masa saja. Tetapi itulah hakikatnya.

“Kami bercinta dan ada cakap soal masa depan, tetapi pada masa sama terhimpit dengan kerjaya masing-masing. Apapun doakan saja ya,” katanya tersenyum.

Menutup bicara, Janna turut mengambil kesempatan yang ada untuk memohon maaf kepada semua yang dikenalinya mahupun tidak.

“Saya minta maaf kepada semua yang mengenali. Saya sendiri pun maafkan semua. Saya kosong, netizen kosong,” katanya seraya melemparkan ketawa ceria menoktahkan kata.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI