KALAU bercakap tentang figura seorang ini yang terkenal dengan panggilan Che Ta tentang bagaimana dirinya menyambut Syawal, pasti akan terbayang jumlah persalinan busana mega yang diperagakannya sehingga acap kali mencuri perhatian netizen.
Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini terutama sejak era pandemik Covid-19, pemilik nama lengkap Rozita Abu Bakar itu lebih selesa tidak mendedahkan jumlah persalinan raya tahun ini.
‘Melaram’ dalam IG
Dia tidak mahu mengundang kecaman netizen yang barangkali masih berdepan pelbagai dugaan disebabkan virus tersebut meskipun dunia kini kian memulih.
“Saya tak nak cakaplah berapa pasang baju raya tahun ini. Bukan apa, tak cakap salah, kalau cakap lagilah mengundang macam-macam.
“Kalau nak tahu juga, tengoklah status Instagram saya kali ini. Apa saya boleh kongsi, bukan Che Ta kalau tak penuhkan Instagram dengan gambar sesi fotografi.
“Sebenarnya, baju raya sebelum ini pun, ada yang di bawa ke hadapan. Maklumlah situasi pandemik dua tahun lalu membataskan pergerakan. Nak melaram pun tak boleh sangat. Nak masuk fasa endemik kini pun tetap berhati-hati selain terus membiasakan norma baharu,” kongsikan kepada Pose.
Kebiasaannya, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu sudah menyiapkan persiapan persalinan baju raya untuknya dan keluarga lebih awal kerana tidak mahu berdepan sebarang kesulitan ketika beraya.
Balik Kedah, banglo siap
“Buat awal, tak kalut. Jadi bulan Ramadan boleh fokus dengan amal ibadat. Pendek kata, baju, kain samping, butang baju Melayu anak dan suami pun sudah disediakan. Pemilihan beraya dengan baju warna sedondon itu pun harus.
“Cuma selepas dua tahun beraya dengan norma baharu, saya tetap membataskan pelbagai aspek. Cukup beraya dengan keluarga dan adik-beradik lain.
“Tahun ini, semua adik-beradik sepakat beraya di Alor Setar, Kedah. Saya pun pulang awal ke kampung dari 1 hingga 8 Mei kerana komitmen seni dan kerja lain sudah dilunaskan lebih awal,” katanya.
Dalam pada itu, Che Ta melahirkan rasa teruja rumah banglonya siap beberapa hari sebelum Ramadan berlabuh.
“Selepas empat tahun termasuk ketika pandemik, pengubahsuaian rumah itu tergendala untuk disiapkan. Penantian kini bernoktah dan dapat masuk rumah akhirnya.
“Cuma kerana sudah merancang awal balik beraya di Kedah, jadi nak raya di rumah sendiri selepas itulah. Saya pun pindahkan barang dari rumah lama ke kediaman baharu sedikit demi sedikit. Lepas beraya nanti mulalah pindahkan barang sepenuhnya,”ujarnya lagi.
Tudung, projek terbaharu
Berkongsi tentang projek lakonan terbaharu, Che Ta muncul dengan drama Mem & Bibik-Bibik di TV3 menerusi slot Azalea sejak 4 April lalu dan Kerana Dia Suka.
Drama komedi 20 episod arahan Wan Saiful Shahrizan tersebut turut dibintangi suaminya, Zain Saidin. Tak ketinggalan pelakon lain seperti Nabila Razali, Azza Elite, Aprena Manrose, Bell Ngasri, Lynnda Sharudin, Shakilla Khoriri dan ramai lagi.
“Penggambaran drama itu sudah selesai pada 7 April lalu. Kini saya hanya ada komitmen rakaman program dekorasi, Mai Cheq Deko.
“Untuk program siaran TV Okey itu saya jadi hos. Program tersebut diterbitkan sebanyak 13 episod,” katanya.
Pada masa sama, Che Ta mendedahkan koleksi tudung Siri Florescence Raya 2022 bawah jenama ByRCW Sdn. Bhd. dihasilkan secara terhad iaitu 3,000 helai edisi kali ini.
“Koleksi tudung empat segi ini saya hasilkan sebanyak 3,000 helai saja. Sangat terhad. Jumlah itu tidak akan ditambah atau diulang cetak. Kalau habis terjual, maka habislah. Tiada lagi koleksi sama pada waktu mendatang,” tutupnya.