SAN JOSE, Costa Rica – Foto terbaik memaparkan sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) telah dikeluarkan selepas 50 tahun ia pertama kali dirakam, lapor akhbar The Sun, semalam.
Gambar itu pada asalnya dirakam dari sebuah pesawat yang terbang melintasi hutan di Costa Rica. Kelihatan seperti sebuah cakera logam berlegar-legar di bawah pesawat berkenaan.
Imej tersebut telah disunting dan kini dikeluarkan dalam cetakan beresolusi tinggi selepas ia pertama kali dirakam setengah abad lalu.
Jurugambar udara, Sergio Loaiza menggunakan kamera pembuat peta seberat 45 kilogram (kg) ketika pesawat itu terbang pada ketinggian 3.05 kilometer (km) dalam misi meninjau kawasan.
Tinjauan itu dilakukan berdekatan projek pembinaan hidroelektrik, berhampiran dengan Gunung berapi Arenal.
Ketika pesawat berkenaan melepasi Tasik Cote, Loaiza merakam beberapa gambar hitam putih beresolusi tinggi dan di seluruh hutan selang masa 20 saat lalu objek itu dikesan.
Bagaimanapun, jurutebang dan tiga kru pesawat tersebut tidak melihat sebarang objek ketika penerbangan sebenar. – Agensi