LONDON – Era ‘pemerintahan’ Roman Abramovich di Chelsea semakin hampir ke penghujung selepas konsortium diketuai Todd Boehly sudah menandatangani kontrak perjanjian untuk mengambil alih kelab itu.
Konsortium yang diketuai bilionair dari Amerika Syarikat (AS) itu dilaporkan sudah mencapai kata sepakat dengan Abramovich berhubung urusan jual beli yang dianggarkan bernilai £4.25 bilion (RM22.92 bilion).
Bagaimanapun, urusan ambil alih itu masih belum selesai sepenuhnya memandangkan Boehly perlu mendapatkan persetujuan serta lesen khas daripada kerajaan United Kingdom (UK) bagi memeterai perjanjian tersebut.
“Pemilik baharu juga akan melabur sebanyak £1.75 bilion (RM9.44 bilion) untuk kebaikan kelab ini termasuk pelaburan dalam Stamford Bridge, Akademi Chelsea, pasukan wanita dan Kingsmeadow selain pembiayaan berterusan kepada Yayasan Chelsea,” menurut kenyataan rasmi Chelsea.
Difahamkan, proses itu perlu diselesaikan dalam bulan ini juga bagi mengelakkan masalah lebih besar buat Chelsea memandangkan lesen operasi sedia ada akan tamat penghujung Mei nanti.
Urusan tandatangan perjanjian jual beli dianggap sebagai langkah terbesar setakat ini untuk kedua-dua pihak melengkapkan proses ambil alih Chelsea daripada taikun Rusia itu.
Menerusi klausa ‘anti-Glazer’ yang ditetapkan Abramovich, konsortium tersebut perlu patuh terhadap perjanjian di mana mereka tidak boleh menjual mana-mana saham dalam kelab itu sehingga 2032.
Sebagai rekod, konsortium yang dibentuk Boehly bersama Hansjorg Wyss, Mark Walker dan Jonathan Goldstein menerima persaingan daripada bilionair Great Britain, Sir Jim Ratcliffe, namun tawaran saat akhir yang dibuat pesaing itu telah ditolak. – AGENSI