TIDAK tahu di mana silapnya, nama penyanyi dangdut Baby Shima sentiasa panas dan menjadi mangsa kecaman netizen dengan pelbagai isu yang dibangkitkan dalam media sosial.
Selepas dituduh melakukan gimik ketika menderma, terbaharu namanya kembali panas apabila memuat naik fotonya melawat kubur saudara-maranya yang beragama Kristian pada hari raya pertama.
Sungguhpun telah memberi penjelasan berhubung perkara tersebut, Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 30, tetap dikecam netizen.
Tidak melatah mahupun beremosi, Shima yang lebih sedekad bergelar penyanyi sudah lali dengan kecaman yang dilempar terhadapnya.
Malah, penyanyi itu mendedahkan, emosinya langsung tidak ‘koyak’ meskipun membaca setiap komen negatif dalam media sosial.
“Pernah dalam sebulan lebih, saya membaca komen. Walaupun sakit hati, saya baca semua komen dan baru tahu ramainya yang membenci saya.
“Namun, selepas difikirkan kembali, perkara tersebut langsung tidak menjejaskan saya. Alhamdulillah, rezeki saya sentiasa ada.
“Saya masih ingat mula-mula ketika berasa ‘down’, lama-lama saya sudah biasa seolah-olah tiada perasaan langsung,” kongsinya.
Ditebak tentang kecaman yang paling membuatnya terduduk dan berasa malu, tanpa berfikir panjang, pelantun lagu Lalai itu memberitahu ketika dia dikritik oleh penyanyi Mas Idayu dalam pertandingan nyanyian, D’Academy Asia 3 pada 2017.
“Rasanya kritikan Mas Idayu yang memberi komen, ada nampak mummy happy? Sebab program tersebut disiarkan secara langsung di pelbagai negara dan dikritik sebegitu saya berasa malu.
“Sekarang saya okey, sudah tidak kisah. Apa orang hendak cakap dan kritik, saya terima dengan hati terbuka. Keluarga juga tidak terkesan kerana mereka memahami karier saya,” tuturnya lagi.
Selain itu, Shima yang turut aktif dan memiliki ramai pengikut dalam TikTok menegaskan, dia tidak pernah mencipta ‘content’ (kandungan) untuk menjadi tular dan dikecam netizen.
Malah, kebanyakan kandungan yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya dilakukan secara spontan.
“Saya sedar penyanyi perlu aktif dalam media sosial, tetapi saya bukanlah jenis orang yang merancang terlebih dahulu setiap kandungan.
“Sebab saya tidak suka rasa terbeban, sebaliknya lebih suka mencipta kandungan secara spontan mengikut keadaan,” ujar Shima.
Berbicara tentang karier nyanyiannya, Shima meluahkan rasa lega selepas dua tahun ‘terperap’ di Malaysia, akhirnya dia akan kembali aktif di Indonesia.
“Saya berasa lega apabila pintu sempadan dibuka kerana sudah lama tidak balik ke sana (Indonesia), rumah juga sudah dua tahun tidak jenguk, tidak tahu bagaimana keadaannya.
“Jadi, selepas cuti raya sekitar seminggu lebih di Johor Bahru, Johor, saya terus terbang ke sana. Pihak pengurusan saya di sana pun sudah memberi jadual kerja.
“Selama dua tahun tidak ke sana, terdapat banyak kerja tertangguh yang harus disiapkan segera. Mungkin untuk kembalikan ingatan peminat di sana, saya akan muncul dengan sebuah video muzik baharu,” tutup Shima.