PERSIAPAN atlet negara dijangka terganggu apabila Majlis Olimpik Asia (OCA) mengesahkan Sukan Asia Hangzhou 2022 bermula 10 hingga 25 September depan ditangguh.
Keputusan itu dibuat selepas badan induk sukan Asia itu mengambil kira penularan baharu wabak Covid-19 di China berada di tahap membimbangkan selain mampu memberi kesan terhadap kelancaran temasya.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya risau dengan penangguhan itu kerana pelbagai program latihan sudah dirancang Majlis Sukan Negara (MSN) sepanjang tahun ini.
“Kita sudah menerima kenyataan media daripada OCA tetapi kita masih menunggu hitam putih daripada mereka untuk mengesahkan benda (penangguhan Sukan Asia) itu. Bagaimanapun, kita sudah tahu ia ditangguh.
“Memandangkan kita sudah bersedia untuk temasya sukan sepanjang tahun ini, jadi agak risau dengan penangguhan Sukan Asia kerana ia akan mengganggu program yang dilaksanakan MSN,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Meskipun menyuarakan kebimbangan mengenai perkara itu, namun beliau menjelaskan, badan induk sukan negara akan menyusun semula perancangan sebaik mendapat tarikh sebenar penangguhan.
“Kita tunggu keputusan rasmi dihantar kepada setiap ahli gabungan kerana kita nak tahu sampai bilakah temasya ini akan ditangguh. Adakah sehingga 2023 atau bagaimana.
“Memandangkan sekarang ini kita terlibat dengan Sukan SEA dan kemudian Sukan Komanwel, kita akan susun semula perancangan berhubung perkara ini. Selepas dapat keputusan daripada mereka, kita akan buat kenyataan nanti,” ujar Mohamad Norza.
Selain Sukan Asia, Sukan Remaja Asia yang sepatutnya berlangsung di Shantou, Disember depan mungkin akan dibatalkan terus kerana pernah ditangguhkan sekali sebelum ini.