fbpx

958 kes HFMD dicatatkan di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S. Veerapan

SEREMBAN – Sebanyak 958 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dilaporkan di Negeri Sembilan sehingga 27 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, jumlah kes HFMD yang dilaporkan tersebut adalah berikutan pembukaan semula sektor pendidikan dan tempat-tempat awam.

“Pada minggu epid ke 17, sebanyak 139 kes telah dicatatkan iaitu 81 kes di daerah Seremban, 16 kes di Port Dickson, 12 kes di Jempol, 13 kes di Tampin, 10 kes di Kuala Pilah dan enam kes di Rembau dan satu kes di Jelebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, terdapat 13 wabak HFMD yang masih aktif iaitu lima di Rembau, tiga di Port Dickson, tiga di Jempol dan satu masing-masing di Tampin serta Seremban yang kesemuanya melibatkan tadika dan taska serta rumah persendirian.

Dalam pada itu, Veerapan menjelaskan, Kementerian Kesihatan akan terus melakukan aktiviti promosi langkah pencegahan HFMD, pemantauan ke premis-premis tadika dan pusat jagaan kanak-kanak serta melakukan penutupan premis bagi yang mempunyai wabak ini.

“Antara perkara yang perlu lakukan untuk membendung penularan HFMD di Negeri Sembilan adalah ibu bapa atau penjaga sentiasa memantau kesihatan anak masing-masing.

“Jangan menghantar anak ke sekolah, tadika atau pusat jagaan atau berada tempat awam jika terdapat gejala HFMD seperti demam, ulser di mulut, blister di tangan atau kaki.

“Guru atau penjaga yang bertugas di pintu masuk taska atau tadika perlu mengenal pasti segera kanak-kanak yang bergejala HFMD dan mengecualikan mereka dari mengikuti sesi pembelajaran bersama kanak-kanak yang lain dan perlu kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI