fbpx

25 juta tan bijirin ‘tersekat’ di Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan pelabuhan Danube di Ukraine. - AFP

GENEVA – Seorang pegawai Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) memaklumkan bahawa kira-kira 25 juta tan bijirin tersangkut di pelabuhan Ukraine, lapor laman berita Wionews, semalam.

Kesemua bekalan itu tidak dapat dieksport kerana masalah infrastruktur selain sekatan perjalanan di Laut Hitam dan Mariupol oleh Rusia.

Menurut FAO, halangan itu menyebabkan lonjakan harga makanan dunia sehingga mencapai rekod tertinggi pada Mac lalu berikutan operasi ketenteraan khas oleh Rusia. 

Kenaikan harga makanan dunia bagaimanapun dilihat mula berkurang pada bulan lalu namun masalah kekurangan stok makanan asas masih menjadi isu kritikal.

Berdasarkan angka dari International Grain Council (IGC), Ukraine adalah pengeksport jagung keempat terbesar di dunia dan pengeksport gandum keenam terbesar pada musim 2020/2021. 

“Ini adalah situasi yang hampir menggerunkan kita lihat di Ukraine dengan hampir 25 juta tan bijirin yang boleh dieksport untuk memenuhi tuntutan bekalan dunia.

“Namun begitu, ia tidak boleh meninggalkan negara itu hanya kerana masalah infrastruktur dan sekatan pelabuhan,’’ kata Timbalan Pengarah Bahagian Pasaran dan Perdagangan FAO, Josef Schmidhuber.

Beliau berkata, menara penyimpan yang penuh bijirin itu mungkin berdepan masalah untuk musim penuaian pada Julai dan Ogos akan datang.

Perkara lain yang turut membimbangkan adalah beberapa gudang dan kemudahan penyimpanan bijirin di Ukraine telah musnah semasa perang dengan Rusia.

Ukraine telah diwajibkan untuk mengeksport bijirin menggunakan kereta api melalui sempadan baratnya atau dari pelabuhan kecil Sungai Danube sejak Moscow memulakan perang pada akhir Februari lalu.

Pihak berkuasa Ukraine telah berulang kali menyatakan bahawa mereka sedang berusaha untuk meningkatkan eksport melalui kereta api dan melalui pelabuhan Danube.

Ukraine juga berharap eksport melalui laluan ini tidak lama lagi akan meningkat kepada lebih daripada satu juta tan sebulan.

Kementerian pertanian berkata minggu lepas peniaga telah mengeksport 763,000 tan bijirin dalam tempoh 29 hari pertama April berbanding 2.8 juta tan metrik pada April 2021.

Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala berkata bahawa beliau amat bimbang akan kenaikan harga makanan dan sedang bekerjasama dengan rakan kongsi lain untuk mencari jawapan kepada masalah berkenaan.

“Ia benar-benar akan membantu dunia jika kita dapat memindahkan bijirin ini dari Ukraine.

“Terdapat risiko serius akan harga makanan yang meningkat berbanding kemampuan pembelian yang boleh menyebabkan lebih ramai kelaparan,’’ katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI