SEBUT tentang Aidilfitri, jawapan klise yang sering diberikan umum ialah meraikan kemenangan selepas sebulan menahan lapar, dahaga dan nafsu sepanjang Ramadan.
Hakikatnya, setiap individu mempunyai tafsiran berbeza tentang Syawal. Hal sama juga dirasai pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd. Noor.
Baginya, Syawal merupakan bulan berkongsi rezeki sesama insan, sekali gus dapat meringankan beban golongan yang memerlukan.
Begitulah pengertian Syawal dari sisi pandangan seorang wanita yang mesra disapa sebagai Neelofa itu.
Baginya, kehadiran lebaran tidak hanya membawa satu mesej meraikan hari raya semata-mata tetapi mampu memberi 1,001 rahmat buat seluruh umat Islam yang meraikannya.
Kemanisan Syawal untuk semua
“Apabila kita bercakap soal Syawal dan raya, mungkin hal yang paling klise adalah kita melihat lebaran sebagai hari kemenangan selepas berpuasa selama sebulan.
“Tetapi bagi saya, Syawal merupakan bulan yang memberikan kita peluang berkongsi rezeki, meraikan orang yang kita sayang dan seterusnya mengingati golongan memerlukan,” katanya kepada HibGlam.
Tidak mengehadkan pengertian Syawal, wanita berusia 33 tahun itu berpendapat setiap insan di muka bumi, khususnya umat Islam, dalam apa jua keadaan perlu merasai kemanisan dan keindahan Aidilfitri sama seperti orang lain.
Baginya, tiada seorang pun harus berasa ketinggalan mahupun terpinggir dalam meraikan bulan kemenangan ini.
“Harus kita ingat bahawa setiap insan berhak merasai manisnya hari lebaran dan betapa indahnya sambutan Aidilfitri.
“Jadi, memberi dan berkongsi itu seharusnya seiring dengan rutin lain yang kita sering lakukan pada hari raya seperti saling bermaafan serta ziarah menziarahi,” tuturnya lagi.
Sambutan sederhana, jaga kesihatan anak
Menyambut lebaran berpaksikan status ibu bapa buat pertama kali pada tahun ini sememangnya memberi pengalaman berbeza buat Neelofa dan suaminya, Haris Ismail.
Kehadiran putera sulung, Muhammad Bilal yang dilahirkan pada 29 Januari lalu turut menceriakan suasana walaupun usianya baru mencecah tiga bulan.
Biar begitu, bintang filem Pilot Cafe itu memberitahu sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini diraikan dengan penuh sederhana di ibu kota bersama keluarga tercinta.
“Syawal pertama kami sebagai ibu bapa sebenarnya semua persiapan dilakukan secara sederhana sahaja.
“Tahun ini satu keluarga saya tidak pulang ke Kelantan dan menyambut raya di Kuala Lumpur. Malah adik-beradik lain turut berkumpul di rumah ibu di Damansara,” kongsinya.
Bekas pengacara Next To Neelofa itu juga tidak menafikan kehadiran Bilal turut memeriahkan lagi sambutan hari raya keluarga kecilnya.
“Ya, Bilal masih kecil tetapi meriahlah juga dengan kehadirannya. Baju raya pun ada beberapa helai dan memang teruja melihat dia memakai kopiah,” ujarnya.
Sementara itu, dalam keterujaan menyambut raya, Haris pula memilih mengamalkan sikap berjaga-jaga berkaitan isu kesihatan putera kesayangannya.
Katanya, pendekatan tersebut bagi mengelakkan sebarang kesusahan berlaku kepada Bilal dan individu lain.
“Untuk raya kali ini, kami masih pentingkan keselamatan dan kesihatan semua terutama Bilal yang masih kecil.
“Saya tak mahu menyusahkan orang dan diri sendiri. Jadi, prosedur operasi standard (SOP) kekal diikuti,” tutur bekas peserta Pencetus Ummah berkenaan.
Teruja perkembangan Bilal
Sempat berkongsi mengenai perkembangan tumbesaran Bilal, Neelofa memberitahu anak lelakinya itu membesar dengan baik dan sangat mudah untuk diuruskan.
“Alhamdulillah, dua bulan selepas dilahirkan, dia sangat mudah dijaga dan tidak mempunyai ragam yang sukar diuruskan.
“Sekarang dia menunjukkan perkembangan hendak mula meniarap dan pandai gelak,” kongsinya.
Pada masa sama, selebriti yang mula mengenakan imej berniqab sejak Oktober 2020 itu memanjatkan rasa syukur kerana suami tercinta setia menemaninya setiap kali perlu bangun pada waktu tengah malam menguruskan Bilal.
“Kehadiran suami menemani saya setiap kali perlu bangun malam.
“Dia sangat menyokong dan membuatkan saya lebih kuat serta bersemangat menjaga Bilal,” jelas Neelofa menutup bicara.