STATUS Thailand selaku pasukan pilihan lebih berkisar di atas kertas dan pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney tetap mengimpikan kejutan pada aksi pembukaan Kumpulan B Sukan SEA di Stadium Thien Truong hari ini.
Jurulatih dari Australia itu menaruh keyakinan dan bukan perkara mustahil untuk mengecewakan pasukan paling berjaya dalam sejarah temasya Sukan SEA itu.
Malah, kemampuan pemain negara mengikat skuad Gajah Perang tanpa jaringan pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia, Oktober lalu menjadi bukti kualiti dimiliki barisan pemain muda negara dan komitmen ditunjukkan menghadirkan keyakinan mereka mampu menggalas tugas dengan baik.
“Thailand wajar dihormati sebagai pasukan pilihan dan mereka sudah memenangi pertandingan ini banyak kali. Tetapi saya gembira dengan kumpulan pemain dan kami pernah bekerjasama sejak dua atau tiga tahun lalu.
“Pemain yang kami ada terdiri daripada teras pasukan dan kebanyakan daripada mereka sering mendapat peluang bersama kelab masing-masing. Saya yakin kami mampu tampil kompetitif dan kemungkinan untuk kami raih keputusan positif sentiasa ada,” katanya.
Selepas Thailand, misi skuad negara untuk menebus kekecewaan gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2019 diteruskan dengan menentang Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).