SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal dinaiki bersama rakannya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Jalan Spice Village -Taman Kelisa di sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu, mangsa, Mohamad Nor Alif Firdaus Afzanizan, 12, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Sementara pembonceng, Muhamad Alwi Muhaimin Rizaudin, 12, yang mengalami kecederaan di kepala dan badan dirawat di zon kuning Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan mendapati motosikal jenis Sym Bonus itu ditunggang laju sebelum terbabas dan melanggar pembahagi di kiri jalan sebelum hilang kawalan.
“Kedua-dua mangsa kemudian tercampak ke tengah jalan.
“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, Mohamad Nor Alif Firdaus yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala pembonceng cedera di kepala dan badan. – KOSMO! ONLINE