PETALING JAYA – Puluhan kereta tersadai di sebuah stesen minyak di Setiu, Terengganu semalam selepas bekalan petrol di premis berkenaan habis.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @syashaedora selain petrol, air di tandas stesen minyak itu juga kehabisan.
Lebih menyedihkan katanya, kedai makan di kawasan itu juga ditutup awal kerana kehabisan makanan.
“Minyak tak ada, air tak ada, kedai makan tutup awal sebab barang habis. Ada laki bini sampai bergaduh tepi jalan sebab jalan jem,” ciapnya semalam.
Menurut individu itu, kebanyakan kenderaan yang tersadai itu sedang menunggu ketibaan lori tangki minyak yang difahamkan turut terperangkap di dalam kesesakan lalu-lintas.
Susulan perkongsian itu, ada juga pengguna Twitter yang turut berkongsi pengalaman sama mencari stesen minyak untuk mengisi petrol kerana kebanyakan stesen di Pantai Timur kehabisan bekalan.
“Semalam berhenti stesen minyak, tinggal minyak 97 je, masjid-masjid banyak tiada air, surau-surau ada lagi air. Semalam jem teruk luar biasa dari Jerteh sampai Kuala Terengganu,”ciap @shoutsummer.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @azmdae.
“Semalam bukan minyak saja habis, dari Jerteh sampai Setiu ATM habis duit, nak isi minyak, slot card tiada,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE