VIENNA – Satu kajian mendapati bahawa pesohor-pesohor media sosial mempengaruhi kanak-kanak dan remaja dengan hantaran berkaitan makanan ringan, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Penyelidik menganalisis hantaran mengenai makanan, snek dan minuman ringan oleh enam pesohor media sosial yang terkenal dalam kalangan remaja. Gabungan pengikut mereka adalah 35 juta orang.
Mereka mendapati bahawa tiga perempat daripada hantaran berkaitan makanan dan minuman itu mengandungi produk yang tinggi garam, lemak atau gula.
Semua pesohor berkenaan adalah penutur bahasa Jerman dan hantaran tersebut disebarkan di TikTok, Instagram dan YouTube yang menjadi aplikasi yang digunakan oleh kanak-kanak seawal 13 tahun.
Coklat dan gula-gula pula menjadi produk yang paling biasa dipromosikan oleh pesohor-pesohor media sosial yang menyumbang satu perempat daripada hantaran mengenai makanan dan minuman.
Justeru, penulis-penulis kajian dari Universiti Perubatan Vienna, Austria menyeru agar tindakan keras dikenakan terhadap terhadap ruang pengaruh dan media sosial yang sebahagian besarnya tidak dikawal untuk menangani isu obesiti kanak-kanak.
Pengarang kajian, Dr. Maria Wakolbinge berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk membantu menangani masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang semakin meningkat.
“Pesohor-pesohor media sosial mempunyai kuasa besar ke atas rasa releven dan menarik yang dirasai oleh orang muda,” katanya. – Agensi