fbpx

Pertandingan DIY Made Simple kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peruncit barangan pembaikan rumah, MR D.I.Y. Group (M) Bhd. (MR D.I.Y.) dengan kerjasama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares) bakal melancarkan edisi ke-6 pertandingan tahunan DIY Made Simple.

Pertandingan yang terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah seluruh negara dan disokong oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan menggalakkan para pelajar memahami serta menghargai impak positif budaya ‘buat sendiri’ (DIY) ke atas negara dan komuniti.

Tema tahun ini, ‘Menghadapi Norma Baharu: Transformasi Sekolah’ menyeru pelajar untuk mencari jalan mempertingkatkan kemudahan di sekolah mereka sambil menyesuaikan diri dalam norma baharu dengan memulakan projek DIY menggunakan bahan dikitar semula.

Pengerusi Kumpulan MR D.I.Y., Datuk Azlam Shah Alias berkata, DIY Made Simple bukan sekadar satu pertandingan dan ia menggalakkan perkongsian idea tentang cara mempraktikkan amalan mesra alam, menggalakkan budaya naik taraf dan guna semula, seterusnya melahirkan komuniti yang mampan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada UMCares kerana sekali lagi bekerjasama dengan kami dalam usaha ini, dan kepada KPM kerana menyokong program ini.

Azlam Shah

“Sokongan mereka membolehkan kami meningkatkan kemahiran 865 pelajar sekolah menengah dari seluruh negara sejak pertandingan ini dilancarkan pada tahun 2017 dan ia semakin besar dan menarik dari tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyertaan edisi DIY Made Simple 2022 kini dibuka dan pelajar berminat boleh menghantar video penyertaan mereka sehingga 20 Mei 2022.

Satu panel pengadil yang terdiri daripada wakil dari Universiti Malaya (UM), MR D.I.Y. dan KPM akan menilai kesemua penyertaan dan menyenarai pendek 98 pasukan (tujuh sekolah dari setiap negeri) untuk pembentangan cadangan dan prototaip dari 31 Mei hingga 21 Julai 2022.

Seterusnya, 18 finalis akan dipilih untuk bekerjasama dengan pensyarah dari Fakulti Bina Alam UM untuk mentransformasi idea mereka menjadi realiti semasa pusingan akhir.

Fasa terakhir akan dijalankan dari 22 Julai hingga 25 Sept 2022 sebelum para pemenang diumumkan pada bulan Oktober. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI