MANCHESTER – Kenyataan yang dikeluarkan Edinson Cavani memberikan satu lagi tamparan besar buat Manchester United menjelang kunjungan ke Stadium Amex menentang Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.
Ketika prestasi United masih lagi terumbang-ambing, bintang dari Uruguay itu tampil dengan pendedahan dan mengakui tidak bercadang untuk melanjutkan kontraknya di Old Trafford jika Cristiano Ronaldo terus bersama The Red Devils.
Cavani, 35, menegaskan, dia enggan berselindung dan mendedahkan perkara sebenar yang dilihat seakan-akan memberikan gambaran terhadap keadaan sebenar apa yang sedang berlaku dalam kelab tersebut.
“Saya sentiasa bercakap perkara yang benar kerana ia sepatutnya dilakukan. Namun, ketika ini ia sudah berlaku dan saya fikir sesuatu yang bagus buat United untuk mempunyai Cristiano (Ronaldo).
“Perkara pertama yang saya lakukan adalah menelefon abang saya, Fernando. Jika semua ini berlaku seminggu yang lalu, saya sudah mencari kelab lain.
“Bukan kerana saya tidak dapat bermain, tetapi banyak perkara berbeza dalam bola sepak hari ini. Saya akan cuba lakukan sehabis baik, terus positif dan sekarang kita lihat apa akan berlaku selepas ini,” katanya.
Sebagai rekod, Cavani hanya diberikan peluang membuat 18 penampilan dalam semua pertandingan bersama United dan sekadar menjaringkan dua gol sepanjang musim ini. – AGENSI