GEORGE TOWN – Malang nasib seorang pelesit rempit apabila motosikal yang ditunggangnya dikatakan hilang kawalan menyebabkan dia terpelanting dan terseret sejauh kira-kira 10 meter di jalan Pantai Seagate dekat Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu berlaku ketika lelaki tersebut bersama sekumpulan penunggang motosikal lain dikatakan sedang berlumba termasuk ada yang melakukan aksi ‘Superman’.
Difahamkan, penunggang berusia 20-an itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dia segera dibantu serta dialihkan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Jalan Pantai Seagate menjadi antara port ‘panas’ kumpulan pelesit rempit mempamerkan aksi tunggangan merbahaya dan berlumba pada setiap hujung minggu dan cuti umum.
Terdahulu, video kejadian yang berdurasi 18 saat itu turut tular di kumpulan aplikasi sosial WhatsApp komuniti sejak pagi tadi. – KOSMO! ONLINE