fbpx

Luka lama belum sembuh, Afieq Shazwan tutup pintu hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFIEQ SHAZWAN

SELEPAS terlerainya anyaman percintaan bersama penyanyi Wani Kayrie tahun lalu, patah hati dialami Afieq Shazwan ternyata belum pulih sepenuhnya. Pendek kata, dia masih lagi dalam fasa mengubat luka.

Katanya, kesilapan dilakukan wanita yang pernah bertakhta di hatinya selama empat tahun itu sukar diterima, bahkan dia perlu memikirkan penerimaan keluarga andai mahu menyambung semula perhubungan mereka.

“Kalau orang lain mungkin boleh terima kesalahan dilakukan Wani, namun bagi saya agak sukar kerana perkara tersebut terlalu berat.

“Saya pun tak boleh cakap sama ada takkan buka hati langsung untuknya sebab kita tak tahu masa depan. Kalau memang itu jodoh saya, nak buat macam mana tapi semuanya membabitkan penerimaan keluarga, jadi agak susah,” jelasnya yang selesa berkawan sahaja dengan Wani.

PERCINTAAN senyap-senyap antara Afieq Shazwan dan Wani Kayrie hanya didedahkan kepada umum apabila mereka tidak lagi bergelar pasangan kekasih. Foto – AFIQ RAZALI

Enggan terlalu memikirkan perihal duka yang menyelubung jiwa, penyanyi itu menyerahkan semuanya kepada ketentuan takdir.

“Kalau memang takdir kami berjumpa semula, hubungan dengan keluarga boleh baik dan mereka boleh terimanya semula, saya okey.

“Keluarga nampak keadaan saya selepas kami putus cinta. Pergi dan balik kerja tapi tak macam orang. Mungkin ada peluang kedua, cuma bagi saya bertenang dulu, luka pun belum sembuh,” ceritanya kepada HibGlam.

Tertutup

Sebelum ini, keintiman dua penyanyi merangkap rakan seperjuangan dalam arena muzik itu pernah hangat diperkatakan, namun mereka lebih selesa menyimpan kemas soal hati tanpa mendedahkan status percintaan.

Buat masa ini, Afieq juga menutup buku untuk berkasih dengan mana-mana wanita setelah Wani didakwa berubah sejak memasuki dunia lakonan.

Enggan menuding jari kepada sesiapa, kata Afieq, dirinya juga mempunyai kekurangan yang mungkin mempengaruhi perubahan sikap Wani hingga meranapkan cinta mereka.

“Saya pun barangkali ada silap. Cuma kami dah bersemuka bagi meleraikan segala isu.

“Tak tahu salah siapa, jadi saya yang putuskan lebih baik kami berkawan saja,” kongsi penyanyi Lelaki Di Telefon itu.

Ditanya tentang kerahsiaan status percintaan mereka dari pengetahuan umum, dedah pemuda berusia 25 tahun itu, semuanya dilakukan bagi menuruti permintaan Wani.

“Jika diikutkan memang saya tak kisah nak dedahkan kami bercinta sejak dahulu tetapi dia yang meminta perhubungan ini dirahsiakan.

“Malah saya tak pernah berbual dengan perempuan lain sebelum ini kerana mahu jaga hati dia. Tapi akhirnya hati sendiri tak terjaga,” luah Afieq.

ENGGAN terus tenggelam dalam perasaan sendiri, Afieq menyibukkan diri dengan banyak kerja sehingga pernah jatuh pengsan baru-baru ini.

Tidak mahu hanyut dibuai emosi, Afieq bangkit dari dibelenggu kesedihan dengan menyibukkan diri memenuhi undangan persembahan pentas serta ligat di set penggambaran drama.

Begitupun, kesihatannya perlu dijaga selepas pengsan di rumah usai bersahur berikutan mengalami masalah darah rendah selain keletihan melampau baru-baru ini.

“Alhamdulillah, selepas fasa pandemik berakhir, tawaran menyanyi dan berlakon kembali rancak macam dahulu, terutama sepanjang Ramadan.

“Saya terbabit dengan banyak program raya dan sedang sempurnakan penggambaran sebuah drama bersiri. Alhamdulillah, rezeki datang dalam pelbagai cara.

“Sepanjang bulan lalu, saya atur jadual sebaik mungkin tanpa ada pertindihan atau terbabit dalam sesi penggambaran yang panjang supaya tidak terkejar-kejar berbuka puasa dengan keluarga di rumah.

“Pernah saya jatuh pengsan. Mujur insiden tersebut berlaku di rumah. Doktor minta saya jaga kesihatan untuk elak kejadian sama berulang. Mental dan fizikal kena kuat,” katanya.

Sementara itu ditebak keakrabannya dengan penyanyi Iman Troye pula, katanya mereka tiada sebarang hubungan istimewa, kecuali kerjasama dalam penghasilan sebuah lagu.

“Kami cuma berduet dan berkawan saja. Kawan kami usik sahaja, jangan anggap serius,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI