LIVERPOOL – Kebersamaan pemain dalam tempoh yang lama mampu membolehkan Liverpool terus mengutip tiga lagi mata berharga apabila melayan kunjungan Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi esok.
Bintang The Reds, Mohamed Salah yang diumumkan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Bola Sepak 2022 menjelaskan, mereka sedar akan tanggungjawab masing-masing untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Manchester City.
“Kebanyakan kami telah bersama untuk tempoh lima tahun, malah ada di antara pemain yang sudah berada dalam pasukan lebih daripada itu. Jadi kami tahu apa yang diperlukan untuk mencatat kemenangan.
“Kami hanya perlu berikan 100 peratus dan fokus dalam setiap perlawanan. Anda boleh lihat apa yang kami lakukan dalam aksi terakhir (menentang Villarreal), kami ketinggalan dua gol tetapi berjaya bangkit memenangi perlawanan.
“Ia cukup penting untuk kekuatan minda pemain bagi menghadapi perlawanan selepas ini. Mentaliti kami mengatakan yang kami mampu memenangi apa sahaja piala,” katanya.
Selepas memenangi Piala Liga Inggeris, peluang Liverpool menambah tiga lagi piala musim ini masih terbuka luas apabila mara ke final Piala FA bertemu Chelsea, final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid dan kini turut memberi tekanan kepada City dalam saingan EPL.
Mengulas mengenai aksi final ulangan Liga Juara-Juara 2018, Salah merasakan pertemuan menentang Real hujung bulan ini adalah peluang terbaik untuk membalas dendam selepas dihimpit kecederaan bahu pada perlawanan itu kerana diasak oleh Sergio Ramos.
“Kami tewas di final dan ia menjadi hari yang menyedihkan buat kami semua dan sekarang adalah masa untuk membalas dendam. Saya begitu teruja bertemu Real di final nanti walaupun ia akan menjadi aksi yang sukar,” jelasnya. – AGENSI