fbpx

Konvoi terakhir dua beranak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa dua beranak di Jempol malam kelmarin.

JEMPOL – Perjalanan pulang 31 ahli keluarga ke rumah masing-masing selepas menikmati makan malam di Gemas di sini ber­akhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan malam kelmarin.

Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian pada pukul 11.50 malam itu ialah Mohd. Azharruddin Azmee, 34, dan ibunya, Nor Rohaini Masri, 62.

Dua beranak itu yang cedera parah di kepala disahkan maut di lokasi kejadian di Jalan Besar Felda Palong 4, di sini.

Anak Nor Rohaini, Mohd. Kamarul Hafiz Azmee, 36, berkata, dia berasa terkilan kerana tidak sempat melihat ibu dan adiknya memotong kek hari lahir mereka semasa pulang beraya di Felda Palong 12 pada Rabu lalu kerana terpaksa bertolak ke Kuala Rompin.

“Itulah pertemuan terakhir kami. Saya tidak pasti sama ada mereka sudah atau belum memotong kek yang dibeli oleh isteri. Jika belum, saya tidak sanggup melihat kek itu lagi.

“Saya mengetahui nahas yang menimpa ibu dan adik menerusi kumpulan WhatsApp tetapi tidak mengetahui keadaan mereka,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jempol di sini semalam.

GAMBAR kenangan arwah Nor Rohaini (duduk, dua dari kiri) bersama anak-anak serta cucunya semasa sambutan 1 Syawal di rumahnya di Felda Palong 12 baru-baru ini.– NOR AINNA HAMZAH

Menurut pemuda itu, dia ha­nya mengetahui dua ahli keluarganya maut semasa dalam perjalanan pulang ke daerah ini.

“Menggigil tangan apabila mengetahui ibu dan adik sudah tiada. Saya tenangkan diri sebentar sebelum meneruskan pemanduan,” katanya.

Katanya, ayahnya, Azmee Md. Rawi, 67, yang baru menjalani pembedahan di bahagian usus masih bersedih dengan kejadian tersebut yang berlaku pada hari keempat Syawal.

Sementara itu, adik Nor Rohaini, Laila Masri, 53, berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas makan malam bersama 31 ahli keluarga­nya di Gemas.

“Kami menaiki tiga buah kenderaan termasuk Toyota Avanza yang dinaiki arwah kakak dan anak saudara. Saya tidak berani melihat kemalangan itu, anak-anak yang membantu sementara menunggu ketibaan ambulans,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, dua MPV Toyota Avanza serta lori jenis Nissan UD.

Siasatan awal mendapati semasa kejadian Proton Exora yang dipandu wanita berusia 35 tahun dalam perjalanan pulang beraya dari Dungun, Terangganu ke Me­laka melalui Jalan Palong.

“Setibanya di tempat kejadian, pemandu yang dipercayai me­ngantuk atau keletihan hilang kawalan dan melanggar salah satu tayar lori yang datang dari arah bertentangan.

“Proton Exora itu kemudian melanggar MPV jenis sama dan sebuah Toyota Avanza. Pada masa sama, sebuah lagi Toyota Avanza tidak sempat mengelak dan melanggar kenderaan yang terlibat nahas,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Jempol bagi pro­ses bedah siasat.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI