fbpx

Inap desa, hotel penuh musim raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN IZNIFAIZ menunjukkan deretan bilik standard dan super di My Home Village, Arau baru-baru ini. – SYED AZLAN SAYID HIZAR

ARAU – Kebanyakan inap desa dan penginapan bajet di nege­ri ini dan Kedah sudah penuh dengan tempahan daripada penduduk tempatan dan perantau yang pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

Pemerhatian di Facebook mendapati kebanyakan penginapan tersebut penuh bermula dua hari sebelum hari raya pertama sehingga hari raya kelima.

Menurut Pengurus My Home Village Resort and Pool, Wan Iznifaiz Wan Mohd. Izuan, pihaknya mula menerima tempahan sejak mula beroperasi awal Mac lalu.

“Tempahan di fasiliti pelancongan ini untuk minggu pera­yaan Aidilfitri bermula tarikh 2 hingga 7 Mei sebenarnya telah penuh sejak Mac lalu selain hari minggu sepanjang Mei.

“Secara kebetulan, kami masih lagi menawarkan harga promosi bermula dari RM180 bagi bilik standard dan RM230 bagi bilik super,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kampung Banat, di sini baru-baru ini.

Katanya, inap desa yang mempunyai sembilan bilik dan mampu menampung sehingga 30 orang pada satu-satu masa turut menyediakan sarapan percuma dan kolam mandi terbuka.

“Kami juga ada menerima tempahan seluruh bilik di sini selama satu hari satu malam daripada penduduk setempat pada minggu perayaan tersebut dan mungkin untuk diadakan majlis rumah terbuka.

“Selain itu, boleh dikatakan 50 peratus tempahan adalah daripada penduduk tempatan, manakala 50 peratus lagi dari luar Perlis,” ujarnya.

NUR HASANAH membersihkan inap desa miliknya di Taman Desa Aman, Guar Chempedak, Yan sebelum pelanggan daftar masuk.

Katanya, terdapat pelanggan mengatakan mereka pulang beraya sambil bercuti selain ingin lari daripada kesibukan kota dengan melihat pemandangan sawah padi.

Di Kedah, pengusaha inap desa, Nur Hasanah Desa, 36, berkata, dua buah inap desa yang diusahakannya iaitu Rifqi Homestay di Taman Desa Aman, Guar Chempedak di Yan sudah ditempah dua bulan lalu bermula 1 Mei hingga 8 Mei nanti.

“Tempahan itu dibuat oleh perantau yang pulang beraya di kampung halaman mereka.

“Mereka dah buat tempahan awal berserta bayaran deposit kerana bimbang tiada tempat menginap ketika pulang beraya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran, Hotel Park Avenue, Sungai Petani, Yeo Shwu San berkata, tempahan bilik pada 3 dan 4 Mei penuh sejak seminggu sebelum itu kerana orang ramai menyangkakan Aidilfitri jatuh pada hari Selasa.

“Hampir 80 peratus bilik sudah ditempah bermula tarikh 1 hingga 8 Mei ini. Harga bilik bagi tarikh ini mengikut kadar harga musim perayaan iaitu antara RM250 hingga RM400 semalam mengikut jenis bilik,” jelasnya.

Di Langkawi, seorang pe­ngusaha rumah tamu, Norhayati Abdullah, 54, berkata, tahun ini dia menyediakan pelbagai juadah raya seperti lemang, ketupat dan rendang buat tetamu yang kebanyakan terdiri pelancong warga asing.

“Saya mahu pelancong warga asing merasakan sendiri suasana hari raya. Tarikan seperti ini ­dapat menarik semula kedata­ngan pelancong ke sini,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI