fbpx

Ibu tunggal tak mampu tampung kos rawatan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZATUL AKMA memberikan susu kepada Aliya melalui saluran tiub ketika ditemui di Pangsapuri Sri Embun, Damansara Damai baru-baru ini.

PETALING JAYA – Tiada apa yang diharapkan oleh seorang ibu tunggal selain mengharapkan ihsan orang ramai untuk membantunya mengumpul dana bagi tujuan rawatan perubatan anak-anaknya yang menderita pelbagai jenis penyakit.

Wanita berkenaan, Zatul Akma Muhd. Zin, 37, berkata, dia perlu terus kuat dan cekal menghadapi dugaan hidup terutama untuk menjaga dua orang anak­nya yang menghidapi penyakit saraf otak yang kronik.

Katanya, dia mempunyai empat orang cahaya mata hasil daripada perkahwinan dengan bekas suaminya.

“Saya kini runsing memikirkan bagi mendapatkan dana perubatan mencecah jutaan ringgit buat anak keempat yang berusia enam tahun yang kini menderita penyakit berkenaan.

“Adib Aisy Rizqi Badrul Irwan menderita penyakit kronik tersebut sejak berusia tiga tahun dan kini terpaksa menjalani rawatan terapi penggantian enzim melalui pentadbiran intratekal di kepalanya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Pangsapuri Sri Embun, Damansara Damai di sini baru-baru ini.

Zatul Akma yang berniaga tudung secara dalam talian berkata, sebelum ini, dana tersebut ditampung oleh sebuah syarikat farmaseutikal, BioMarin Pharmaceutical Inc dari America Syarikat sejak dua tahun lalu.

“Bekalan ubat buat Adib akan berakhir pada bulan Julai ini dan sekiranya tiada penaja yang sudi menanggung kos ubatan import dari Jerman itu, doktor kata pe­nyakit Adin akan bertambah te­ruk,” katanya.

Tambahnya, Adib memerlukan rawatan sepanjang hayatnya dan ubat yang dibekalkan hanya bertahan untuk tempoh dua tahun sahaja sebelum mendapatkan rawatan buatnya yang menelan perbelanjaan mencecah jutaan ringgit.

Dalam pada itu, jelasnya, seorang lagi anaknya, Aliya Darwisyah Badrul Irwan, 8, turut menderita penyakit sama, namun hanya mampu berbaring di atas tilam dan bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen untuk bernafas.

“Doktor ada memberitahu saya, kesihatan Aliya semakin merosot, jadi saya terpaksa bersedia dan reda untuk menerima apa jua kemungkinan yang berlaku.

“Aliya sudah kehilangan keupayaan untuk mendengar, melihat dan bercakap, dia juga terpaksa diberikan ubat tidur untuk dia berehat secukupnya,” ujarnya.

Katanya, Aliya merupakan anak ketiganya dan mula menghidap penyakit itu sejak berusia tiga tahun lagi.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank Bank Simpanan Nasional milik Zatul Akma bernombor 0510-7410-0004-5635.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI