AMPANG JAYA – Salah faham berhubung kehilangan beg sandang menjadi punca dua lelaki cedera selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 12.25 tengah malam.
“Sepasukan polis di lokasi kejadian mendapati lapan lelaki sedang bertengkar dan dua daripadanya cedera.
“Kesemua individu terlibat berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Hulu Klang untuk tindakan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, punca kejadian adalah akibat perselisihan faham berhubung kehilangan beg sandang.
“Ketika perbincangan, telah berlaku pergaduhan antara kumpulan lelaki terbabit.
“Tiga suspek daripada kesemua suspek telah direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Tambahnya, baki lima lagi suspek telah diberi jamin polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE