BERA – Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berlangsung dengan meriah dalam suasana Keluarga Malaysia apabila dikunjungi masyarakat berbilang kaum.
Kira-kira 40,000 pengunjung yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum sama ada Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli memenuhi Dataran Kerayong di sini bermula pukul 9 pagi bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri.
Ismail Sabri berkata, sambutan hari raya yang menjadi kelaziman setiap tahun itu disambut meriah pada kali ini selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini seperti biasa setiap tahun dihadiri masyarakat pelbagai kaum di daerah ini dan alhamdulillah ramai juga orang luar derah turut hadir.
“Terima kasih kepada semua yang hadir yang mana makanan dan juadah disediakan oleh penduduk setiap kampung di daerah ini,”katanya di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Abdul Rahman Mohamad.
Dalam pada itu seorang pengunjung, Ng Hook Chuan, 77, berkata, dia bersama keluarga dan rakan-rakan daripada warga Tionghua hadir ke rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri pada pukul 9 pagi.
Katanya, sambutan Hari Raya berkonsepkan keluarga Malaysia hari ini amat bermakna sekali yang menunjukkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Di sini kami dapat bersama menikmati pelbagai makanan seperti lemang dan ketupat bersama masyarakat Melayu yang merayakan Aidilfitri selain bertemu dengan Perdana Menteri.
“Kami amat teruja sekali dan berharap sambutan hari raya seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,”katanya yang berasal dari Triang.
Sementara itu seorang pengunjung, Mohd Zuhaili Zainuddin, 30, berkata, dia amat teruja untuk menghadiri rumah terbuka ini selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian akibat pandemik Covid-19.
Katanya dia bersama semua ahli keluarganya dan rakan-rakan hadir bagi menjamu selera dan bertemu sanak saudara di majlis ini. – KOSMO! ONLINE