SAO PAULO, BRAZIL – Pegawai-pegawai Brazil percaya bahawa mereka menemui manusia paling tua di dunia yang masih hidup selepas doktor merawat seorang warga emas berusia 121 tahun di kediamannya di Bela Vista, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Menurut laporan, sekumpulan pasukan perubatan ditugaskan untuk merawat Maria Gomes dos Reis yang kini tinggal bersama cucunya, Celia Gomes selepas semua anaknya meninggal dunia.
Berdasarkan rekod sijil kelahiran, wanita itu dilahirkan pada 16 Jun 1900 di kampung Bom Jesus da Lapa.
Celia berkata, neneknya merupakan seorang yang aktif lapan tahun lalu dan masih mampu menyediakan makanan, membasuh pakaian serta menghadiri acara keramaian. Namun, dia kini terlantar di katil dan perlu dijaga oleh ahli keluarga terdekat.
“Kami tahu bahawa nenek (Maria) mempunyai umur yang panjang. Namun, apabila mengetahui bahawa dia merupakan individu tertua di dunia, kami amat teruja,” kata Celia.
Selain Celia, cicit Maria, Vitoria Stefani dan Ivanilde Gomes turut bergilir-gilir membantu menguruskan keperluan hariannya.
“Nenek masih sedar mengenai banyak perkara. Dia bercakap dengan kami dan ada masanya, dia terlupa siapa dirinya,” kata Victoria.
Secara keseluruhan, Maria mempunyai 13 cicit dan enam piut (cucu kepada cucu).
Menurut Guinness World Records, individu tertua di dunia ialah seorang biarawati dari Perancis, Lucile Randon yang kini berumur 118 tahun.
Dia menerima pengiktirafan tersebut selepas individu sebelumnya, Kane Tanaka dari Jepun, meninggal dunia pada usia 119 tahun, 19 April lalu. – Agensi