JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan darjah kebesaran tertinggi negeri ini kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Baginda mengurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) yang membawa gelaran Datuk kepada Perdana Menteri Singapura itu.
Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J) kepada isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching yang membawa gelaran Datin Paduka.
Titah baginda, pengurniaan darjah berkenaan sebagai menghargai usaha Hsien Loong yang terus mengukuhkan hubungan persahabatan erat antara Johor dan Singapura yang telah terjalin sekian lama.
“Hubungan Johor dan Singapura terjalin sekian lama dan pengurniaan darjah kebesaran tertinggi dari Istana Johor ini terus mengukuhkan hubungan dua hala.
“Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura diatas peranan beliau selama ini dalam terus mengeratkan hubungan Singapura dan Johor,” titahnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Majlis tersebut berlangsung secara penuh istiadat di Istana Besar Johor Bahru hari ini.-KOSMO! ONLINE